DHAKA: Bangladesh berjaya memindahkan kira-kira 10,000 etnik Rohingya dari beberapa kem pelarian yang terletak di daerah Cox’s Bazar berhampiran sempadan Myanmar.
Ia selepas sekurang-kurangnya 14 orang termasuk enam pelarian Rohingya maut dalam kejadian tanah runtuh dan banjir kilat akibat hujan monsun di kawasan tersebut.
Lapor Al Jazeera, Pesuruhjaya bagi kem pelarian, Shah Rezwan Hayat berkata, selepas tiga hari dilanda hujan lebat, pelarian tersebut dipindahkan dari kawasan berbukit di sekitar kem Balukhali di Cox’s Bazar.
Dilaporkan, puluhan pelarian Rohingya yang tidak mendapat bilik di kem tersebut telah mendirikan tempat perlindungan di sekitar bukit itu yang dilanda dengan tanah runtuh ketika musim tengkujuh.
“Kami sudah memindahkan kira-kira 10,000 pelarian Rohingya ke kawasan selamat selepas tempat perlindungan mereka terjejas akibat hujan lebat dan tanah runtuh,” katanya.
Menurut pihak berkuasa, sekurang-kurangnya enam pelarian Rohingya antara mangsa yang maut dan beberapa lagi cedera.
Mangsa lain yang terkorban merupakan penduduk kampung yang mana rumah mereka musnah dalam kejadian tersebut. – AGENSI