YANGON: Lebih 100 penunjuk perasaan yang membantah pemerintahan junta tentera memenuhi jalan-jalan utama di sekitar pusat bandar terbesar di Yangon, hari ini.
Lapor Reuters, penduduk berarak sambil menunjukkan simbol tiga jari yang melambangkan tentangan terhadap junta tentera Myanmar.
Para penunjuk perasaan di Yangon juga melaungkan beberapa slogan termasuk `revolusi kebangkitan’ ketika negara itu memasuki bulan keenam dibawah rejim ketenteraan.
Beberapa penunjuk perasaan turut membawa obor ketika demonstrasi yang diketuai oleh sekumpulan wanita yang digelar sebagai Yangon’s 21st Century Queen Panhtwar’s Strike.
Konflik di Myanmar tercetus sejak junta tentera menggulingkan pemimpin awam, Aung San Suu Kyi pada 1 Februari lalu yang memegang tampuk pemerintahan selama lima tahun.
Hampir setiap hari penduduk Myanmar mengadakan tunjuk perasaan di sekitar jalanan menuntut pengembalian semula demokrasi dan menentang tindakan kekerasan pasukan keselamatan.
Menurut Persatuan Bantuan Tahanan Politik, lebih 900 penduduk maut dan ribuan ditahan sejak rampasan kuasa 1 Februari lalu.










