LONDON: Hampir separuh penduduk Britain mahu Perdana Menteri, Boris Johnson menangguhkan ‘Hari Pembebasan England’ pada 19 Julai ini, ketika para pakar menyuarakan kebimbangan terhadap penamatan sekatan Covid-19 di negara itu.
Johnson semalam mengesahkan semua sekatan Covid-19 di negara ini akan dilonggarkan pada 19 Julai ini.
Lapor Mirror, berdasarkan laporan The Guardian, sebanyak 50 peratus penduduk mahu tarikh pelonggaran sekatan Covid-19 ditangguhkan kerana kes jangkitan terus meningkat.
Tinjauan itu dijalankan oleh agensi Opinium terhadap penduduk di United Kingdom (UK).
Para saintis percaya langkah melonggarkan sekatan Covid-19 itu boleh mencetuskan kenaikan kes jangkitan yang lebih tinggi sehingga mampu mencapai 100,000 kes sehari dalam beberapa bulan akan datang.
Ramai pakar juga menganggap tarikh ditetapkan itu masih terlalu awal untuk pembukaan semula yang sepenuhnya bagi masyarakat.
Seorang ahli dari panel penasihat kerajaan, Scientific Pandemic Influenza Group on Modelling (Spi-M), Dr. Mike Tildesley memberitahu Times Radio, terdapat risiko dengan rancangan pelonggaran sekatan Covid-19.
“Saya tidak boleh katakan sama ada rancangan pembukaan semula harus diteruskan atau sebaliknya. Tetapi apa yang saya mampu katakan adalah ia merupakan keputusan yang amat sukar bagi kerajaan,” katanya.
Dalam pada itu, Reuters melaporkan Johnson dijangka mengumumkan hari ini (12 Julai) pelan untuk menamatkan hampir semua peraturan sekatan Covid-19 di England mulai 19 Julai depan.
Difahamkan, Johnson juga akan menggesa penduduk lebih berwaspada dengan pelaksanaan yang digelar sebagai one-way road to freedom.
“Pandemik global belum berakhir lagi. Kes dijangka meningkat ketika sekatan dilonggarkan tidak lama lagi, maka berhati-hatilah agar kita tidak jejaskan pembangunan negara,” katanya dalam kenyataan. – AGENSI