BLANTYRE: Polis di Malawi melancarkan operasi bagi menguatkuasakan peraturan pemakaian pelitup muka di tempat awam.
Lapor BBC, operasi itu dilakukan ketika negara tersebut berdepan dengan lonjakan kes jangkitan Covid-19.
Sejak beberapa minggu lalu, kematian akibat Covid-19 mencatatkan peningkatan dan kes jangkitan baharu Covid-19 juga mencecah lebih 400 kes sehari.
Dilaporkan, penduduk Malawi masih enggan mematuhi peraturan kawalan Covid-19 termasuk pemakaian pelitup muka dan penjarakan sosial.
Menurut polis Malawi, operasi yang dikenali sebagai Vala Mask bertujuan mewajibkan orang ramai memakai pelitup muka di tempat awam.
Operasi itu juga akan merangkumi beberapa kawalan lain seperti memantau waktu operasi perniagaan dan memastikan kapasiti tempat duduk sebanyak 50 peratus di dalam pengangkutan awam.
Perintah berkurung juga dilaksanakan di Malawi dari pukul 10 malam sehingga 6 pagi. – AGENSI










