'Perintah Darurat memperdalam luka penduduk' - Utusan Malaysia

‘Perintah Darurat memperdalam luka penduduk’

PASUKAN forensik melakukan siasatan selepas berlaku serangan bom di Yala pada 2018. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK: Ahli akademik, pakar undang-undang dan aktivis hak asasi manusia menuntut kerajaan memansuhkan Perintah Darurat yang didakwa bertujuan mengawal situasi pemberontakan di wilayah selatan Thai dan krisis Covid-19.

Bangkok Post melaporkan, mereka menegaskan undang-undang keras itu disalahgunakan untuk menutup perbezaan pendapat walaupun ia tidak banyak mempengaruhi ‘transmisi’ mengawal Covid-19 serta konflik di wilayah berkenaan.

Desakan menamatkan penguatkuasaan Perintah Darurat itu diulangi dalam perbincangan awam dalam talian yang bertajuk ’16 Tahun Perintah Darurat: Dari Wilayah Sempadan Selatan hingga Covid-19′ yang dianjurkan Dewan Anggota Parlimen ASEAN untuk Hak Asasi Manusia (APHR) bersama Yayasan Silang Budaya dan Suruhanjaya Juri Antarabangsa, Khamis lalu.

“Sudah 16 tahun sejak pemerintah pertama kali mengumumkan penguatkuasaan Perintah Darurat untuk mengatasi pemberontakan di wilayah selatan Thai. Keputusan itu masih berkuat kuasa di Yala, Pattani dan Narathiwat, tetapi pertempuran bersenjata di daerah itu masih terjadi,” kata Anchana Heeminna, aktivis hak asasi manusia.

Heeminna yang juga pengasas kumpulan Duay Jai, sebuah organisasi yang memberikan bantuan dan pemulihan bagi mangsa konflik di wilayah selatan berkata, perintah itu menyebabkan pengerahan angkatan bersenjata ‘untuk menjaga keamanan’.

Tetapi realitinya kata Heeminna, tentera yang melakukan keganasan terhadap penduduk Islam, kononnya mereka didakwa mempunyai kaitan dengan kumpulan pemberontak.

Perintah Darurat bersama Akta Keselamatan Dalam Negeri yang dilaksanakan di Yala, Pattani, Narathiwat dan sebahagian daripada Songkhla sejaka 2005 membenarkan anggota keselamatan mengambil langkah luar biasa atas nama menangani pemberontakan wilayah selatan, termasuk melakukan serbuan dan sewenang-wenangnya menahan suspek dalam tahanan tentera sehingga 30 hari.

Sejak itu, Perintah Darurat diperbaharui setiap tiga bulan, sebanyak 63 kali.

Hasil daripada penguatkuasaan keputusan tersebut, Heeminna mengatakan, lebih dari 7,000 orang – termasuk 24 wanita dan sebanyak 132 kanak-kanak – ditahan di pangkalan tentera tanpa akses kepada keluarga atau peguam, sementara sekurang-kurangnya 144 orang mendakwa mereka diseksa oleh pegawai dalam usaha mengeluarkan pengakuan paksa sejak 2010.

“Ini adalah pelanggaran serius terhadap hak asasi manusia.

“Penguatkuasaan perintah itu di wilayah selatan jelas tidak menyelesaikan konflik sebaliknya, ini memperdalam luka dalam kalangan penduduk Islam,” katanya.

Pelaksanaan Perintah Darurat untuk menangani gelombang baharu jangkitan Covid-19 juga memberikan hasil buruk, kata bekas Pesuruhjaya Hak Asasi Manusia Kebangsaan, Niran Pitakwatchara.

Menurut beliau, penyatuan tadbir urus di bawah Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) sebenarnya membawa kepada pelaksanaan langkah-langkah kawalan penyakit yang tidak berkesan yang sangat mempengaruhi hak-hak asas orang ramai.

“Thailand benar-benar melakukan tugas yang hebat untuk mencegah penularan Covid-19, ketika kami mengerahkan sukarelawan kesihatan setempat untuk mengawasi operasi pengendalian penyakit di daerah mereka.

“Namun,langkah-langkah kawalan Covid-19 negara mengambil giliran yang berbeza setelah Perdana Menteri, Prayut Chan-o-cha mengumumkan Perintah Darurat, yang menyebabkan pemusatan kuasa di bawah CCSA pada Mac tahun lalu.

“Hasilnya adalah salah urus situasi Covid-19, seperti yang dilihat daripada program pemerolehan vaksin yang huru-hara dan pelancaran sekatan yang meluas pada aktiviti yang hanya menyebabkan kesulitan teruk dan kerosakan ekonomi yang besar, terutama pada perniagaan kecil,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN