Perintah berkurung di Sydney dilanjutkan - Utusan Malaysia

Perintah berkurung di Sydney dilanjutkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SYDNEY: Pihak berkuasa Australia memutuskan untuk melanjutkan perintah berkurung di Sydney selama 14 hari, bermula hari ini.

Keputusan itu diambil selepas tempoh tiga minggu sekatan gagal membendung jangkitan wabak Covid-19 di bandar terbesar di negara ini.

Ketua Menteri New South Wales, Gladys Berejiklian berkata, perintah sekatan perlu diteruskan sehingga 30 Julai depan selepas berlaku 97 kes jangkitan tempatan yang mewakili sedikit peningkatan jangkitan harian daripada hari sebelumnya.

“Adalah sangat sukar untuk mengumumkan perkara ini tetapi kita perlu melanjutkan perintah berkurung sekurang-kurangnya bagi tempoh dua minggu lagi,” katanya.

Daripada 97 kes baharu yang dilaporkan, 24 orang daripadanya merupakan kes jangkitan dalam komuniti.

Berejiklian berkata, perintah berkurung yang dilaksanakan sejak 26 Jun lalu hanya akan dimansuhkan sekiranya bilangan kes harian baharu yang merebak dalam masyarakat adalah kosong.

Bandar pelabuhan yang mempunyai seramai lima juta penduduk itu dikenakan perintah berkurung akibat penularan varian Delta.

Banyak perniagaan tidak penting terpaksa ditutup dan kebanyakan pelajar sekolah kekal berada di rumah dengan penduduk hanya dibenarkan berada di luar kediaman untuk melakukan aktiviti penting dan bersenam. -REUTERS

 

 

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN