SOHAG: Sebuah keluarga pengemis tidak menyangka kehidupan mereka akan berubah sekelip mata selepas mengetahui mendiang bapa mereka meninggalkan duit bernilai AS$1.2 juta (RM4.9 juta).
Lapor Gulf News, kisah keluarga itu dimulakan dengan kematian bapa mereka yang merupakan pengemis di sini.
Setalah sebulan pengemis itu meninggal dunia, keluarganya menerima surat daripada pihak bank yang memberitahu lelaki berkenaan menyimpan duit sebanyak AS$1.2 juta di dalam bank.
Mengetahui perkara itu, seorang daripada anak pengemis terbabit jatuh pengsan kerana terlalu terkejut.
“Posmen datang ke rumah kami dan bertanyakan tentang bapa. Kami maklumkan bapa sudah meninggal sebulan yang lalu.
“Kemudian, dia menyerahkan sepucuk surat dan selepas dibuka, kami berasa amat terkejut kerana mengetahui mendiang bapa ada menyimpan wang begitu banyak di bank tersebut,” jelas soerang daripada anak pengemis itu.
Lapor media tempatan, dalam tempoh 30 tahun terakhir, pengemis itu sering berhijrah ke semua negara teluk.
Lelaki itu sering mengeluh mengenai keadaan keluarganya yang miskin dan amat memerlukan wang.
Sementara itu, selepas mengetahui keluarga pengemis itu bakal menjadi jutawan, banyak keluarga mula melamar anak perempuannya.
Dianggarkan sehingga kini, sebanyak 10 keluarga datang untuk melamar anak perempuannya.










