PRAGUE: Pasukan petugas Sukan Olimpik Republik Czech disahkan positif Covid-19 selepas tiba di Tokyo menerusi penerbangan dari Prague.
Lapor Reuters, perkara itu disahkan oleh pegawai rasmi negara itu dan memaklumkan semua atletnya berada dalam keadaan baik.
Petugas yang didapati negatif sebanyak dua kali semasa melakukan ujian PCR sebelum berlepas dari negara itu tidak mempunyai sebarang simptom.
Dia kini menjalani kuarantin kendiri bersama beberapa individu yang mempunyai kontak rapat di dalam pesawat.
Pengarah Sukan bagi Jawatankuasa Olimpik Republik Czech, Martin Doktor berkata, pihaknya mengambil tindakan dalam tempoh dua jam dan menyediakan bilik berseorangan bagi semua atlet dan petugas pengiring di perkampungan sukan itu.
“Dalam sebarang kes apa sekalipun, aktiviti latihan bagi atlet tidak dihadkan dan masih diteruskan,” katanya.
Semalam, penganjur Sukan Olimpik Tokyo melaporkan kes pertama Covid-19 melibatkan atlet di perkampungan temasya sukan itu bersama 14 kes baharu lain.