MOSCOW: Seorang lelaki dari Rusia dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun enam bulan yang ditangguhkan atas kesalahan mengganggu jirannya dengan bunyi kuda hampir setiap malam selama lebih dua tahun.
Lapor Oddity Central, Yuri Kondratyev, 47, dari bandar Nizhny Novgorod dilaporkan `mendera jirannya secara mental’ selama lebih dua tahun.
Penganggur itu yang tinggal bersendirian sejak isterinya meninggalkannya, mula mengganggu jirannya yang tinggal di bangunan apartmen itu sejak 2018.
Akibat tidak berpuas hati dengan bunyi bising anak-anak jirannya pada siang hari, Kondratyeav mula membalas dendam dengan menimbulkan gangguan kepada mereka pada waktu malam.
Pada mulanya, Kondratyeav hanya memainkan muzik rock dengan kuat selama beberapa jam pada waktu malam sehingga beralih kepada rakaman bunyi kuda.
Jiran Kondratyeav membuat laporan polis dan pihak berkuasa tempatan, malah pernah berusaha untuk memasukkannya ke hospital mental.
Beberapa media tempatan melaporkan lebih 80 aduan difailkan terhadap Kondratyeav antara April 2018 dan Disember 2020.
Kondratyeav juga pernah didenda beberapa kali namun dia tidak mempedulikannya dan terus menyeksa jirannya dengan bunyi kuda itu.
Pada Disember lalu, Kondratyeav ditahan oleh polis dan didakwa mengikut Artikel 117 Kanun Jenayah Rusia yang merujuk kepada mangsa mengalami masalah mental dan fizikal.
Kondratyeav mengaku tidak bersalah ketika perbicaraan meskipun terdapat banyak bukti terhadapnya dalam bentuk keterangan jiran dan denda dikeluarkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Pada 9 Julai lalu, Kondratyeav dijatuhkan hukuman penjara yang ditangguhkan. – AGENSI