SINGAPURA: Siasatan awal mendapati sebilah kapak yang dirampas sebagai bukti dalam kes kematian pelajar Sekolah River Valley High dibeli secara dalma talian, menurut Menteri Undang-Undang, K. Shanmugam.
Pada pagi tadi, seorang remaja lelaki berusia 16 tahun didakwa atas tuduhan membunuh seorang pelajar berusia 13 tahun di tandas sekolah tersebut semalam.
Berita Mediacorp melaporkan, dalam catatan Facebooknya, Shanmugam berkata, soalan-soalan ditanya tentang bagaimana pelajar itu mendapatkan kapak berkenaan.
Tulis beliau, siasatan awal menunjukkan ia dibeli online, namun ‘kita hanya akan tahu fakta penuh apabila siasatan selesai dijalankan’.
Beliau menambah: “Salah satu daripada perkara buruk yang boleh berlaku kepada ibu bapa adalah mendapat tahu daripada pihak sekolah bahawa anak mereka dibunuh. Ia sangat mengejutkan kerana keselamatan dianggap dan lazimnya terjamin di Singapura”.
Tertuduh dan mangsa masing-masing merupakan pelajar Menengah 4 dan Menengah 1 Sekolah River Valley High.
Siasatan awal mendedahkan mereka tidak saling mengenali namun polis berkata sebelum ini akan terus menyiasat motif di sebalik serangan itu.
Shanmugam turut menarik perhatian kepada ‘sejarah isu kesihatan mental’ yang mungkin terbabit dalam kes tersebut.
Pihak pendakwa pada Selasa berkata, pelajar berkenaan sebelum ini mendapatkan rawatan sebagai pesakit di Institut Kesihatan Mental (IMH).
“Pada 2019, polis menangani percubaan bunuh diri membabitkan tertuduh yang berusia 14 tahun pada ketika itu. Menyusuli kejadian itu, dia ditahan demi keselamatannya dan dirujuk kepada IMH bagi penilaian lanjut. Dia kemudian dibenarkan pulang,” katanya kepada mahkamah.
Peguam remaja itu mengesahkan insiden tersebut berlaku ketika anak guamnya di Menengah 2.
Remaja itu kemudian ditahan reman bagi pemantauan psikiatri dan akan dihadapkan semula ke mahkamah pada 10 Ogos.
Polis sebelum ini menggesa orang ramai supaya jangan membuat sebarang spekulasi berhubung kes tersebut demi menghormati keluarga mangsa.
“Kami turut bersedih dengan ibu bapa mangsa. Sukar untuk menggambarkan kedukaan yang sedang dialami,” kata Shanmugam.










