MINA: Jemaah haji mula bergerak ke Bukit Arafah awal pagi hari ini selepas bermalam di Mina semasa hari kelapan Zulhijjah.
Di Masjid Namirah, jemaah akan menunaikan solat jamak Zuhur dan Asar serta mendengar khutbah Hari Arafah, lapor Arab News.
Amalan wukuf di Arafah mengikuti jejak langkah Nabi Muhammad yang menyampaikan khutbah terakhir pada sembilan Zulhijjah iaitu 10 tahun selepas penghijrahan baginda dari Mekah ke Madinah.
Khutbah Hari Arafah tahun lalu memfokuskan kepada solidariti sosial dan aspek kawalan kesihatan bagi membendung penularan wabak Covid-19.
Selepas matahari terbenam hari ini, jemaah haji akan bergerak dan bermalam di Muzdalifah.
Sejurus ketibaan mereka di kawasan suci itu, jemaah akan menunaikan solat Maghrib dan Isyak di sana.