India hasilkan 300 juta dos vaksin Sputnik V - Rusia - Utusan Malaysia

India hasilkan 300 juta dos vaksin Sputnik V – Rusia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MOSCOW: Pengeluar vaksin Covid-19 Rusia, Sputnik V memaklumkan satu perjanjian dimeterai dengan Institut Serum India (SII) untuk menghasilkan 300 juta dos vaksin setiap tahun.

Menurut Dana Pelaburan Langsung Rusia (RDIF) menerusi kenyataan, kedua-dua pihak berhasrat mengeluarkan jumlah vaksin tersebut di India, dengan kumpulan pertama dijangka pada September ini.

Ketua RDIF, Kirill Dmitriev menyifatkan perjanjian dengan SII sebagai langkah besar yang mampu meningkatkan keupayaan pengeluaran Sputnik V.

Malah, kata Dmitriev, usaha itu juga secara tidak langsung dapat menyelamatkan nyawa di India dan di seluruh dunia.

Menurut beliau, pemindahan teknologi sudah bermula dan pengeluaran bersama itu dijangka bermula dalam beberapa bulan akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutif SII, Adar Poonawalla menerusi kenyataan memaklumkan vaksin keluaran Rusia itu menunjukkan tahap keberkesanan tinggi dan profil keselamatan yang baik.

“Oleh itu, ia amat penting vaksin Sputnik V dapat diakses dengan sepenuhnya oleh semua penduduk di India dan seluruh dunia,” katanya.

Januari lalu, RDIF mengumumkan pihaknya telah memohon pendaftaran vaksin itu di Kesatuan Eropah (EU). – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN