Giliran Asia Barat jadi lubuk Covid-19 - Utusan Malaysia

Giliran Asia Barat jadi lubuk Covid-19

ORANG ramai memakai pelitup muka ketika berjalan di Teheran, Iran. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAHERAH: Negara-negara di Asia Barat bakal menjadi lubuk baharu peningkatan kes jangkitan Covid-19 berikutan penularan varian Delta dan program imunisasi yang perlahan.

Amaran itu disampaikan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) selepas peningkatan kes jangkitan secara signifikan direkodkan di Iran, Iraq dan Tunisia, selain situasi sama dijangka berlaku di Lubnan serta Maghribi.

Umat Islam di seluruh dunia dijangka menyambut Hari Raya Aidiladha pada minggu depan dan sehubungan itu, kes jangkitan dikhuatiri meningkat termasuk di Asia Barat.

“WHO bimbang sekiranya peningkatan kes Covid-19 terus berlaku dalam tempoh beberapa minggu akan datang dan keadaan itu boleh menjadi ‘malapetaka’,” menurut kenyataan pejabat WHO Asia Barat.

Selain itu, kekurangan kesedaran mengenai protokol Covid-19 dan program vaksinasi yang perlahan juga bakal memburukkan situasi di rantau ini.

Sehingga kini, Tunisia menjadi negara Asia Barat yang merekodkan kadar kematian per kapita paling tinggi dan kes jangkitan di Iran turut dilaporkan meningkat dua kali ganda dalam tempoh empat minggu sehingga awal bulan ini.

Kenyataan WHO juga menyebut, jumlah keseluruhan kes di rantau Mediterranean Timur termasuk Pakistan, Afghanistan, Somalia dan Djibouti sudah melepasi 11.4 juta dengan 223,000 kematian. – REUTERS

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN