SINGAPURA: Semasa bekerja sebagai penolong kewangan dan pentadbiran di sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Aggiss Tan Shu Han menggelapkan lebih S$1 juta dalam tempoh dua bulan.
Berita Mediacorp melaporkan, duit haram itu digunakan untuk membeli beg tangan mewah dan barang kemas.
Sebahagian besar wang pula dipindahkan kepada seseorang bernama ‘Fred Cheong’, yang ditemuinya di aplikasi mencari jodoh secara dalam talian.
Ketika ditangkap dan disoal siasat polis, dia berbohong telah menjual beg dan barang kemas tersebut.
Semalam Aggiss, 36, dipenjara enam tahun dan tujuh bulan.
Warga Singapura itu mengaku bersalah atas satu dakwaan jenayah pecah amanah sebagai seorang kakitangan, satu dakwaan menghalang pelaksanaan undang-undang dan satu kesalahan memberi keterangan palsu kepada polis.
Tiga dakwaan serupa dipertimbangkan dalam menjatuhkan hukuman.
Ketika melakukan kesalahan pada 2019, Aggiss bekerja di The International Union Against Tuberculosis and Lung Disease Asia Pacific.
Pertubuhan tidak meraih keuntungan itu membangunkan program yang memberi tumpuan kepada penyakit batuk kering, kesihatan paru-paru serta penyakit tidak berjangkit.
Dia menerima gaji bulanan sekitar S$2,500 dan anggota pasukannya termasuk akauntan, Cuthbert Syn.
Pada Mac 2019, Syn memberi Aggiss token perbankan internet untuk salah satu akaun badan itu di bank Standard Chartered (StanChart) dan memintanya memindahkan dana dari akaun itu ke akaun-akaun lain.
Pada beberapa kesempatan, Syn memintanya untuk mengembalikan token itu tetapi dia berbohong kononnya terlupa membawanya ke pejabat.
Antara 4 April hingga 10 Jun 2019, dia menggunakan token tersebut untuk memindahkan sekitar S$1 juta ke akaun banknya sebanyak 133 kali.
Dalam tempoh yang sama, dia menggelapkan lagi S$453,000 dari akaun bank lain badan tersebut.
Dengan jumlah yang diperolehnya, dia memindahkan S$797,000 kepada pihak ketiga, berdasarkan arahan dari teman lelakinya yang dikenali sebagai ‘Fred Cheong’.
Ini dengan tujuan melepaskan bungkusan berisi wang tunai AS$800,000 (S$1.08 juta) yang didakwa ditahan oleh pihak berkuasa Malaysia.
Namun itu hanya sangkaannya kerana pada hakikatnya, ia merupakan satu penipuan.
Dia juga memindahkan kira-kira S$322,000 kepada individu lain, dan menghabiskan lebih S$200,000 untuk membeli barangan mewah dan membayar hutang.
Dia belum membayar balik wang tersebut, meskipun polis berjaya mendapatkan kembali sekitar S$225,000 dan barang-barang mewah tersebut.
Ini bermakna bekas majikannya mengalami kerugian sebanyak S$1.2 juta.
Aggiss direman pada 20 Jun 2019 bagi siasatan.
Dia dibenarkan menggunakan telefon bimbitnya atas belas kasihan untuk menguruskan penjagaan anak perempuannya.
Dia bagaimanapun mengambil kesempatan dengan mengirim pesanan teks WhatsApp kepada pemilik rumahnya, Liew Chwee Jen, dengan berkata: “Jika ada sesiapa yang tanya jika aku pindahkan wang, hanya katakan aku pinjamkan kau wang itu, jangan kata ia duit sewa”.
Dia kemudian memadam mesej itu.
Aggiss juga menyimpan barang-barang kemas dan beg mewah di unit yang sewa dari Chwee Jen.
Keesokan harinya, Chwee Jen berbohong kepada polis bahawa dia tidak ingat tentang sebarang duit sewa yang diterima dari Aggiss.
Polis kemudian menemukan mesej WhatsApp Aggiss di telefon bimbit Chwee Jen. Tuan rumah itu kemudian menarik balik kenyataan yang dibuatnya.
Aggiss juga berbohong kepada polis dalam kenyataannya, dengan mendakwa dia sudah menjual barang kemas dan beg-beg tersebut.
Namun para pegawai kemudian menemukan dan merampas barang itu dari unitnya.
Dokumen mahkamah tidak menyatakan sama ada Chwee Jen didakwa di mahkamah.
Timbalan Pendakwa Raya Foo Shi Hao meminta hukuman dijatuhkan, dengan berhujah bahawa modus operandi Aggiss menunjukkan dia membuat perancangan dan pertimbangan teliti.
Atas kesalahan jenayah yang paling serius iaitu pecah amanah sebagai seorang kakitangan, Aggiss boleh dipenjara sehingga 15 tahun dan didenda.