China dilanda banjir besar - Utusan Malaysia

China dilanda banjir besar

ORANG ramai melihat kereta yang terperangkap dalam air banjir selepas hujan lebat melanda Zhengzhou, Henan. -AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIJING: Sekurang-kurangnya 12 orang maut di Zhengzhou selepas hujan lebat melanda selama satu jam sehingga menyebabkan banjir besar di sebahagian wilayah Henan, Selasa lalu. 

Lebih 100,000 orang diselamatkan dari tebing Sungai Kuning, Zhengzhou iaitu bandar yang memiliki 12.6 juta penduduk dengan ribuan petugas kecemasan dikerahkan bagi menjalankan usaha menyelamat. 

Pihak berkuasa memaklumkan semua mayat mangsa diselamatkan dari kereta api bawah tanah di bandar itu. 

Di bandar berdekatan di Gongyi, seramai empat mangsa disahkan maut dan lebih 20,000 penduduk terpaksa meninggalkan rumah mereka. 

Presiden China, Xi Jinping menjelaskan situasi banjir sangat teruk dan memberi arahan kepada pasukan keselamatan supaya mengutamakan keselamatan dan nyawa penduduk serta harta benda.

PENUMPANG KERETA API TERPERANGKAP 

Penumpang kereta api bawah tanah berada dalam ketakutan kerana terperangkap dalam banjir yang hampir mencecah paras leher serta terpaksa memegang erat siling bumbung kenderaan itu. 

Rakaman gambar oleh Xinhua yang dikongsikan secara meluas dalam media sosial menunjukkan penumpang di Zhengzhou terperangkap dalam kereta api yang dimasuki air banjir. 

Di luar tingkap, air banjir melintasi laluan kereta api bawah tanah.

Jabatan Bomba Henan menerusi kenyataan memaklumkan ramai mangsa terperangkap terpaksa memohon pertolongan menerusi media sosial.

“Air banjir sudah mencecah tahap dada! Saya tidak boleh bercakap lagi, minta tolong!” tulis wanita yang dikenali sebagai Xiaopei. 

Sistem kereta api bawah tanah di bandar itu mempunyai sebanyak tujuh laluan dan 153 stesen terpaksa menangguhkan operasi akibat insiden tersebut.

PUSAT BELI BELAH, JALAN RAYA DILANDA BANJIR  

Video lain menunjukkan penduduk di kawasan jalan terperangkap dalam banjir yang sudah mencecah paras pinggul dan berusaha keras menarik orang ramai yang terperangkap dalam pusat beli belah bawah tanah menggunakan tali. 

Satu klip video yang dikongsikan oleh akhbar, People’s Daily menunjukkan penunggang motosikal di kawasan jalan membuat rantaian manusia bagi mengelakkan dihanyutkan arus banjir yang deras. 

Hujan lebat turut menyebabkan bekalan elektrik terputus di seluruh bandar itu.

HOSPITAL TERJEJAS 

Sebuah hospital yang menempatkan 10,000 pesakit terputus bekalan elektrik sepenuhnya dengan tingkat satu bangunan itu ditenggelami air banjir. 

Seorang pengguna media sosial dalam laman Weibo memberitahu bapanya terpaksa bergantung kepada petugas perubatan untuk mengepam oksigen ke paru-parunya secara manual disebabkan mesin ventilator terpadam akibat bekalan elektrik terputus. 

Bapanya berada di unit rawatan rapi Hospital Gabungan Pertama Universiti Zhengzhou 

Lebih 6,000 anggota bomba dan 2,000 anggota polis serta tentera China dikerahkan menjalankan operasi mencari dan menyelamat di kawasan yang dilanda bencana. 

RISIKO EMPANGAN PECAH 

Pihak berkuasa China turut memberi amaran sebuah empangan di Luoyang boleh pecah pada bila-bila masa berikutan hujan lebat berterusan.

Empangan Yihetan itu boleh menjejaskan kira-kira tujuh juta penduduk di Luoyang sekiranya pecah. -CNN/Agensi 

 

 

 

 

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya