JAKARTA: Seorang wanita tergamak membunuh dan membuang bayinya sendiri bagi mengelakkan bakal suaminya mengetahui tentang perkara itu.
Lapor Tribunnews, wanita itu takut sekiranya rahsianya terdedah kerana sudah mengandungkan anak lelaki lain sebelum berkahwin.
Kes itu berlaku di Kebumen, Jawa Tengah melibatkan wanita berusia 23 tahun yang dikenali sebagai DN.
Bayi tersebut merupakan hasil hubungan sulit suspek dengan rakan sekerja, SM berusia 30 tahun yang sudah berkeluarga.
Kedua-dua mereka berkerja di sebuah hospital swasta.
Kes terbongkar apabila pihak polis menemukan mayat bayi di saluran pembentungan di Kampung Lajer, Ambal.
Bayi itu ditemukan dalam keadaan berbungkus dalam beg plastik.
Menurut Polis Kebumen, Edi Wibowo, bayi tersebut sudah dirancang untuk dibunuh sejak berada dalam kandungan.
Katanya, SM menyuruh DN menggugurkan kandungan dengan meminum ubat peluntur janin.










