JAKARTA: Data Pasukan Mitigasi Doktor Indonesia (IDI) menunjukkan seramai 545 doktor di Indonesia meninggal dunia akibat Covid-19.
Lapor Kompas.com, Ketua Pelaksana Harian Pasukan IDI, Mahesa Paranadipa berkata, pihaknya khuatir keadaan tersebut boleh menyebabkan fasiliti kesihatan menjadi lumpuh.
“Data sehingga 17 Julai menunjukkan jumlah keseluruhan seramai 545 doktor mati di Indonesia.
“Pada Julai sahaja, angka kematian doktor akibat Covid-19 mencecah 114 orang,” katanya.
Menurut Mahesa, angka tersebut sudah melebihi 100 peratus daripada jumlah kematian yang berlaku sejak Jun lalu.
“Ini baru data yang sudah dilaporkan kerana kemungkinan masih ada data yang belum dilaporkan,” jelasnya.
Berdasarkan data yang diterima, angka kematian doktor akibat Covid-19 tersebut paling banyak berlaku di Jawa Timur sehingga mencecah angka 110 orang.
Disusuli oleh Jakarta sebanyak 83 orang, Jawa Tengah (81), Jawa Barat (76) dan Sumatera Utara (38).
Data turut menunjukkan doktor lelaki paling ramai meninggal dunia akibat wabak Covid-19.
Hal ini kerana, doktor lelaki paling banyak melakukan tugas-tugas di kawasan isolasi Covid-19 walaupun ramai juga doktor perempuan yang bertugas.










