BRISBANE: Sekatan Covid-19 baharu dilaksanakan di beberapa bandar di seluruh Australia hari ini susulan peningkatan kes jangkitan Covid-19 akibat varian Delta.
Australia sebelum ini berjaya mengekang penularan kluster jangkitan, namun kini berdepan dengan gelombang baharu di sekurang-kurangnya empat bandar.
Brisbane, Darwin, Perth dan Sydney, melaporkan kes jangkitan baharu Covid-19 dengan semuanya melibatkan varian Delta.
Sydney menjadi titik pusat penularan varian Delta dengan 130 kes jangkitan.
Perintah berkurung yang dilaksanakan selama 48 jam di Darwin dan kawasan sekitarnya bermula hari ini akan dilanjutkan sehingga Jumaat susulan kluster di sebuah lombong emas.
Pihak berkuasa di Brisbane dan Perth pula mengetatkan sekatan dengan mewajibkan pemakaian pelitup muka dan mengehadkan kumpulan sosial.
Selain itu, Canberra turut merekodkan kes jangkitan varian Delta, menyaksikan penduduknya diwajibkan memakai pelitup muka di tempat tertutup.
Australia merekodkan sebanyak 30,000 kes dengan 910 kematian sejak pandemik Covid-19 bermula di negara ini. – AFP










