CARACAS: Sebanyak lapan tentera Venezuela yang diculik oleh sekumpulan individu bersenjata berhampiran sempadan Colombia, berjaya diselamatkan.
Lapor BBC, Menteri Pertahanan Venezuela, Jeneral Vladimir Padrino mengesahkan perkara tersebut.
Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan sebarang maklumat berkaitan misi penyelamatan itu mahupun kumpulan individu bersenjata yang menahan mereka.
Padrino dalam satu kenyataan memaklumkan pihak tentera masih mencari dua lagi anggota tentera yang hilang namun tidak memberikan sebarang butiran lanjut.
Sebelum ini, sekumpulan anggota pemberontak Colombia mendakwa bertanggungjawab atas penculikan tentera berkenaan.
Beberapa media melaporkan terdapat pertempuran antara tentera Venezuela dan bekas anggota pemberontak.
Sebuah kumpulan yang menggelarnya sebagai 10th Front Martin Villa menerusi surat menyatakan mereka menahan tentera berkenaan dalam satu pertempuran di Apure, bersempadan dengan Colombia.
Pertempuran tercetus pada Mac lalu apabila sekumpulan individu bersenjata menyerang pasukan tentera Venezuela di bandar La Victoria.
Keganasan yang berlaku di sepanjang sempadan itu menyebabkan ribuan orang kehilangan tempat tinggal dan lari ke Colombia. – AGENSI










