WELLINGTON: Seorang wanita yang hidup dalam kesakitan di hidungnya selama 37 tahun akhirnya menemukan punca disebalik penderitaan yang dialaminya.
Lapor Daily Mail, Mary McCarthy, 45, mendapati kepingan kecil permainan Tiddlywink tersumbat di dalam lubang hidung kanannya ketika dia berusia lapan tahun.
Menurut McCarthy, sakit di hidungnya bertambah teruk selepas dia menjalani ujian saringan Covid-19 pada tahun lalu.
Akibat itu, dia terpaksa menjalani pembedahan segera untuk mengetahui punca kesakitan.
Jelas McCarthy, ketika pembedahan, pakar bedah terkejut selepas mengeluarkan kepingan kecil permainan yang berwarna kuning itu daripada hidungnya.
Dilaporkan, kepingan permainan itu tersumbat di hidung McCarthy sejak sekian lama sehingga bahan kalsium tumbuh di sekeliling bahagian tersebut.
Portal Stuff melaporkan McCarthy kini boleh bernafas tanpa sebarang masalah melalui lubang hidung kanannya untuk pertama kali dalam tempoh lapan bulan selepas ujian saringan Covid-19 memburukkan lagi kesakitan dan menyebabkan jangkitan.
Mengimbas kembali kejadian masa silamnya, McCarthy berkata, ketika itu dia bermain Tiddlywink bersama tujuh adik-beradiknya.
“Saya masih ingat adik-beradik saya akan meletakkan kepingan permainan itu di dalam hidung dan menghembus keluar untuk melihat sejauh mana ia akan terbang.
“Saya pula secara tidak sengaja menarik nafas daripada menghembuskannya sehingga kepingan itu tersumbat dalam hidung. Saya merahsiakan perkara itu daripada ibu bapa kerana takut.
“Selepas insiden itu, saya kerap mengalami kesukaran bernafas selama beberapa tahun malah tidak pernah memikirkan punca masalah itu,” katanya.










