HONG KONG: Polis menahan seorang bekas wartawan kanan akhbar Apple Daily di lapangan terbang antarabangsa ketika cuba meninggalkan negara pada malam semalam.
Menurut beberapa laporan media tempatan, Fung Wai-kong ditahan atas tuduhan menggugat keselamatan negara.
Wai-kong menjadi kakitangan ketujuh dari Apple Daily yang ditahan atas tuduhan mengancam keselamatan negara sejak beberapa minggu lalu.
Media melaporkan Wai-kong merupakan editor dan kolumnis di akhbar yang sudah ditutup itu.
Polis Hong Kong menerusi kenyataan memaklumkan seorang lelaki berusia 57 tahun ditahan di lapangan terbang kerana disyaki berpakat dengan negara asing atau pihak asing untuk mengancam keselamatan negara.
Jelas polis, siasatan masih sedang dijalankan.
Seorang bekas wartawan Apple Daily, Jack Hazelwood menerusi ciapan berkata, Wai-kong cuba menaiki pesawat untuk ke London dan mahu meminta bantuan pihak berkuasa Britain untuk mengambil tindakan.
Baru-baru ini, polis menyerbu pejabat akhbar prodemokrasi itu dengan mendakwa beberapa laporan berita dihasilkan Apple Daily melanggar undang-undang keselamatan negara.
Pihak berkuasa turut membekukan aset bernilai AS$ 2.3 juta (RM9.5 juta) yang dimiliki tiga syarikat berkaitan Apple Daily.
Akhbar itu dimiliki oleh Jimmy Lai yang kini berada di penjara atas beberapa tuduhan.
Apple Daily dikenali sebagai akhbar yang lantang mengkritik kepimpinan China. – REUTERS










