fbpx

46 juta buruh kanak-kanak menjelang akhir 2022

GAMBAR bertarikh 19 November 2017 menunjukkan dua kanak-kanak menyusun bata di tapak pembinaan di New Delhi, India. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GENEVA: Jumlah buruh kanak-kanak di seluruh dunia meningkat buat kali pertama dalam tempoh dua dekad dan pandemik Covid-19 dikhuatiri memburukkan situasi tersebut.

Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) dan Organisasi Buruh Antarabangsa (ILO) dalam satu laporan bersama memaklumkan, jumlah buruh kanak-kanak sebanyak 160 juta pada awal 2020.

Jumlah itu merekodkan peningkatan sebanyak 8.4 juta dalam tempoh empat tahun.

Peningkatan itu bermula sebelum pandemik Covid-19 melanda dan merekodkan penurunan dramatik iaitu sebanyak 94 juta antara tahun 2000 dan 2016.

Ketika pandemik Covid-19 baru bermula, hampir 1 daripada 10 kanak-kanak global terlibat dalam kegiatan buruh dengan negara Afrika Sahara menunjukkan penglibatan paling banyak.

 

Semakin goyah

Ketua UNICEF, Henrietta Fore berkata, pihaknya semakin ‘hilang kawalan dan goyah’ dalam usaha mengekang peningkatan buruh kanak-kanak.

“Ketika ini, dunia berdepan dengan tahun kedua perintah berkurung akibat Covid-19, kebanyakan sekolah ditutup, ekonomi terjejas, bajet negara semakin terhad dan keluarga terpaksa membuat pilihan yang sukar.

“Sekiranya ramalan kemiskinan ini terus meningkat, kira-kira sembilan juta kanak-kanak bakal menjadi buruh paksa menjelang akhir 2022,” katanya.

Namun, angka itu berpotensi menjadi lima kali ganda lebih tinggi, menurut pakar statistik UNICEF, Claudia Cappa.

Jelas beliau, jika perlindungan sosial gagal mengekang angka peningkatan ketika ini, jumlah buruh kanak-kanak boleh mencecah 46 juta menjelang hujung tahun depan.

 

Kanak-kanak lelaki paling banyak terlibat

Golongan kanak-kanak lelaki paling banyak terlibat dalam kegiatan buruh paksa, melibatkan 97 daripada 160 juta kanak-kanak di seluruh dunia.

Selain itu, kanak-kanak berusia lima dan 17 tahun yang menjadi buruh paksa juga sering melakukan pekerjaan berbahaya yang boleh menjejaskan perkembangan, pendidikan dan kesihatan mereka.

Antara sektor yang sering menggunakan khidmat buruh kanak-kanak adalah agrikultur, menyaksikan penglibatan 70 peratus atau 112 juta kanak-kanak.

 

Tindakan segera

UNICEF memberi amaran pandemik Covid-19 yang belum reda bakal menyaksikan buruh kanak-kanak perlu bekerja lebih lama dan menerusi keadaan lebih teruk.

Ketua ILO, Guy Ryder berkata, sudah tiba masanya untuk semua pihak mengambil tindakan segera untuk putuskan rantaian buruh kanak-kanak. – AFP