YANGON: Seramai 20 penduduk yang hanya bersenjatakan lastik dan anak panah maut di wilayah delta Sungai Ayeyarwady ketika bertempur dengan pasukan keselamatan Myanmar.
Agensi berita televisyen pula melaporkan seramai tiga penyerang dibunuh dan dua individu ditangkap di kampung Hlayswe ketika pasukan keselamatan memberkas seorang lelaki yang didakwa bersekongkol menentang junta tentera.
Namun, seorang penduduk yang enggan dikenali berkata, penduduk kampung hanya mempunyai busur panah sehingga menyebabkan ramai terkorban.
Media tempatan seperti Khit Thit dan Agensi Berita Delta mendedahkan 20 penduduk terbunuh dan ramai individu lain cedera ketika mereka berusaha melawan dengan lastik setelah diserang tentera.
Pertempuran berlaku pada waktu pagi semalam di Hlayswe, kita-kira 150 kilometer dari barat laut Yangon dan junta tentera mendakwa kedatangan mereka untuk mencari senjata.
Pertemuan antara pemimpin junta, Min Aung Hlaing dan wakil ASEAN, Jumaat lalu, menimbulkan kemarahan di beberapa bahagian Myanmar dengan bendera ASEAN dibakar di Mandalay.










