BEIJING: China didakwa menggunakan sistem kamera teknologi kepintaran buatan (AI) terhadap penduduk etnik Uighur di Xinjiang.
Sistem kamera AI yang turut dilengkapi dengan pengimbasan wajah bertujuan mendedahkan keadaan emosi seseorang individu.
Seorang jurutera perisian menerusi program Panorama kendalian BBC, mendakwa memasang sistem kamera AI itu di beberapa balai polis di wilayah berkenaan.
Jurutera itu yang enggan mendedahkan identitinya atas faktor keselamatan, tampil menunjukkan lima keping gambar yang memaparkan beberapa tahanan etnik Uighur diuji dengan sistem kamera AI.
“Kerajaan China menggunakan penduduk Uighur sebagai tikus makmal untuk pelbagai eksperimen mereka.
“Kami memasang kamera AI kira-kira tiga meter daripada tahanan tersebut. Ia sama seperti alat pengesan penipuan tetapi teknologi ini jauh lebih maju,” katanya.
Lelaki itu turut mendakwa pasukan keselamatan menggunakan `kerusi tahanan’ yang terdapat di kebanyakan balai polis di China.
“Tangan dan pergelangan kaki anda akan diikat pada bahagian logam kerusi itu,” katanya.
Jurutera itu juga mengemukakan bukti bagaimana sistem kamera AI mengesan dan menganalisis perubahan genap pada ekspresi wajah individu.
Dia mendakwa, sistem kamera AI itu menghasilkan sebuah carta pai yang mana bahagian berwarna merah menunjukkan keadaan minda yang cemas atau negatif.
Setakat ini, kedutaan China di London belum memberi komen berhubung dakwaan penggunaan sistem kamera AI itu, sebaliknya memaklumkan hak politik dan sosial semua kumpulan etnik terjamin.
Beijing dikritik hebat oleh komuniti antarabangsa mengenai pelaksanaan beberapa dasar di wilayah Xinjiang.
Sebelum ini, kumpulan hak asasi manusia juga mendakwa sejuta penduduk etnik Uighur dan minoriti Islam lain ditahan di kem tahanan di wilayah tersebut.
China bagaimanapun menafikan dan mendakwa kem tahanan itu berperanan sebagai pusat latihan vokasional yang bertujuan memerangi keganasan serta meningkatkan peluang pekerjaan. – AGENSI









