Satu dunia sokong Palestin, kutuk Israel - Utusan Malaysia

Satu dunia sokong Palestin, kutuk Israel

PENUNJUK perasaan memegang sepanduk dalam satu demonstrasi menyuarakan solidariti bersama rakyat Palestin yang diadakan di Paris. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIS: Pasukan polis menggunakan gas pemedih mata dan meriam air untuk menyuraikan penunjuk perasaan yang mengadakan protes pro-Palestin di Paris.

Bagaimanapun, protes itu dilarang oleh pihak berkuasa yang bimbang kemungkinan berlakunya keganasan anti semitik ketika pertempuran antara Israel dan Hamas sejak beberapa tahun lalu.

Lapor Arab News, ribuan penduduk berkumpul di kawasan kejiranan Barbes di utara ibu negara ini untuk berarak dan mereka didakwa mengingkari arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa selepas protes itu dikatakan tidak mendapat permit.

Polis menyekat hampir seluruh jalan besar dan lorong kecil sehingga sejumlah penunjuk perasaan terpaksa berundur dan mencari laluan lain. 

Ada pihak cuba melemparkan batu atau cuba meletakkan sekatan di jalan namun sebahagian besar polis mengejar kumpulan penunjuk perasaan di seluruh daerah sambil menghalang sebarang perarakan menuju ke Palace de la Bastille.  

“Anda mahu melarang saya daripada menunjukkan solidariti terhadap penduduk saya walaupun kampung saya musnah dalam serangan tersebut?,” soal seorang penunjuk perasaan, Mohammed, 23, yang memakai baju kemeja T tertera tulisan ‘Bebaskan Palestin’.

Tunjuk perasaan itu dilarang kerana bimbang pertempuran sama yang tercetus di sebuah protes di Paris ketika perang terakhir pada 2014, bakal berulang. 

Presiden Persatuan Penduduk Palestin di Ile-de-France, Walid Atallah pula menuduh kerajaan sengaja mencetuskan ketegangan dengan pelaksanaan larangan tersebut.

Protes serupa turut diadakan di Jerman dan Denmark dengan beberapa pertempuran antara penunjuk perasaan dan pihak berkuasa dilaporkan berlaku.

Dalam pada itu, ribuan penunjuk perasaan di London dan Madrid juga berarak sebagai tanda sokongan mereka terhadap penduduk Palestin.

Di London, ribuan penunjuk perasaan yang membawa plakad tertera ‘berhenti mengebom Gaza’ serta melaungkan ‘bebas Palestin’ berkumpul di Marble Arch, berhampiran Hyde Park untuk berarak ke Kedutaan Israel.

Di Madrid pula, kira-kira 2,500 penduduk yang kebanyakannya orang muda dengan memegang bendera Palestin berarak ke arah plaza Puerta del Sol di pusat bandar.

Sementara itu, ribuan penunjuk perasaan di Sydney dan ratusan orang di Melbourne mengadakan protes sama. 

Ratusan penunjuk perasaan berkumpul di sekitar beberapa bandar di Iraq bagi menyuarakan solidariti secara bersama dengan rakyat Palestin di Gaza dan Baitulmuqaddis. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya