MOSCOW: Seorang pelatih nyaris maut apabila hampir dibaham seekor singa ketika melakukan aksi bersama haiwan itu untuk menghiburkan penonton dalam satu pertunjukan sarkas di Rusia.
Lapor Metro, sebuah video menunjukkan singa betina itu menyerang Maxim Orlov ketika pertunjukan Ural Travelling Circus pada Sabtu lalu.
Ketika insiden, singa betina itu bertindak ganas dengan mencakar dan cuba membaham Orlov sebanyak dua kali.
Bagaimanapun, Orlov dan beberapa pekerja sarkas lain berjaya menangkis serangan haiwan itu.
Orlov mengalami kecederaan di bahagian tangan dan kaki dan dibawa ke sebuah hospital di Moshkovo di wilayah Novosibirsk untuk menerima rawatan.
Kejadian itu mencetuskan keadaan panik dalam kalangan penonton terutamanya ibu bapa dan kanak-kanak yang menjerit selepas melihat haiwan itu mengamuk.
Situasi tersebut menyebabkan rata-rata penonton mula keluar untuk menyelamatkan diri.
Beberapa media melaporkan seorang wanita mengandung turut mengalami serangan sawan akibat terkejut melihat kejadian itu.
Dalam pada itu, Orlov memaklumkan kejadian serangan haiwan itu amat jarang berlaku di sarkasnya.
“Selepas insiden ini, singa itu tidak akan menyertai pertunjukan sarkas lagi,” katanya.










