LONDON: Sebuah restoran popular tampil memohon maaf kepada seorang ibu yang baharu melahirkan anak selepas meminta wanita tersebut untuk menyusukan bayinya di tandas orang kelainan upaya (OKU).
Lapor Metro, Jessi Ferguson, 23, menikmati hidangan di restoran TGI Fridays di Stockton-on-Tees bersama bayi lelakinya berusia lapan minggu, Louis dan ibunya, Catherine.
Ketika kejadian, keluarga yang berasal dari Middlesbrough itu ditempatkan di sebuah meja makan tinggi di restoran terbabit.
Ferguson meminta pekerja restoran menunjukkan tempat lain yang sesuai bagi membolehkannya menyusukan bayi disebabkan ketinggian meja makan itu menyukarkannya untuk berbuat demikian.
Namun, pekerja restoran itu memberitahu Ferguson boleh menggunakan tandas OKU untuk menyusukan anaknya.
“Saya tidak sangka restoran yang sangat terkenal boleh cadangkan kepada anak saya untuk menyusu bayinya di tandas OKU.
“Kami amat marah kerana tidak diberi pilihan lain, lebih-lebih lagi ketika pandemik Covid-19, tandas tidak selamat untuk digunakan kerana mungkin tidak dibersihkan selepas setiap kali digunakan,” kata Catherine.
Menurut Catherine, pihak restoran sepatutnya menawarkan keluarganya tempat duduk lain yang lebih sesuai dengan mengambil kira situasi Ferguson dan bayinya.
Catherine memuat naik status dalam media sosial meluahkan rasa kekecewaannya terhadap layanan diterima oleh keluarganya di restoran tersebut.
Seorang pengurus restoran kemudian meminta maaf atas kejadian itu dan membayar balik bil makanan mereka.










