‘Kecaman sahaja tidak selamatkan kami’ - Utusan Malaysia

‘Kecaman sahaja tidak selamatkan kami’

PENDUDUK Palestin membawa mayat kanak-kanak yang ditemukan di bawah runtuhan bangunan yang musnah akibat serangan udara Israel di Gaza. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA CITY: Perdana Menteri Palestin, Mohammad Shtayyeh menegaskan kenyataan mengecam konflik yang berlaku tidak cukup untuk ‘menyelamatkan Palestin daripada cengkaman Zionis’.

Katanya, tindakan yang lebih konkrit amat diperlukan ketika ini selepas tentera Israel meningkatkan serangan udara sejak awal pagi semalam.

“Secara jujurnya, mengecam, mengkritik keadaan yang berlaku di Palestin tidak akan menyelamatkan kami kerana setiap hari ada nyawa terkorban.

“Tindakan konkrit diperlukan dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) perlu mengeluarkan resolusi yang mengesahkan semua serangan Israel adalah penindasan terhadap Palestin,” katanya.

Selain itu, Shtayyeh turut menggesa semua sekutu Palestin supaya memanggil Duta Israel ke negara masing-masing dan menghentikan hubungan perdagangan dengan Zionis.

“Kami di sini menyaksikan pertumpahan darah setiap hari dengan penduduk tidak berdosa menjadi mangsa. Anak-anak jadi yatim piatu, keluarga kehilangan insan tersayang.

“Adakah anda semua hanya membiarkan Israel membunuh keturunan Palestin dan biarkan kami lenyap dari muka bumi?,” ujarnya.

 

Rundingan PBB gagal

Semalam, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melakukan rundingan untuk membincangkan keadaan di Palestin, namun gagal mencapai kata putus mahupun kenyataan bersama mengenai situasi tersebut.

Terdahulu, Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres mengulangi pendiriannya dengan mendesak keganasan di Palestin dihentikan segera.

“Semua pertempuran perlu dihentikan serta-merta. Konflik yang berlaku boleh menyebabkan ancaman keselamatan serta krisis kemanusiaan yang tidak terkawal,” katanya.

Selain itu, Guterres juga mengkritik serangan udara Israel yang memusnahkan menara yang menempatkan organisasi media termasuk AP dan Al Jazeera.

 

Demonstrasi satu dunia

Pengarah Akar Umbi Al-Quds, Fayrouz Sharqawi menerusi Twitter mengajak seluruh umat Islam di seluruh dunia untuk menyertai demonstrasi besar-besaran membantah serangan Israel hari ini.

Fayrouz berkata, demonstrasi itu akan bermula di Baitulmuqaddis.

 

Rusuhan di Montreal

Pasukan polis anti rusuhan melepaskan gas pemedih mata ke arah penunjuk perasaan selepas berlaku rusuhan antara penyokong Israel dan penyokong Palestin di Montreal, Kanada.

Insiden itu mendapat perhatian Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau dan beliau menyelar rusuhan yang berlaku.

“Semua orang mempunyai hak untuk berhimpun secara aman dan menzahirkan pandangan secara bebas di Kanada.

“Namun, kami tidak boleh bertolak ansur dengan mana-mana pihak yang cuba menjejaskan keamanan dan kestabilan negara,” katanya menerusi Twitter.

 

China zahir kekesalan

Sementara itu, China menzahirkan kekesalan selepas Amerika Syarikat (AS) menyekat kenyataan Majlis Keselamatan PBB (UNSCR) berhubung konflik di Palestin.

Menteri Luarnya, Wang Yi berkata, hanya disebabkan satu negara, UNSCR gagal menyuarakan ketegasan mereka terhadap keganasan di Palestin.

“Disebabkan itu, kami menggesa agar AS bertanggungjawab atas tindakan mereka kerana semakin ramai penduduk Palestin yang terkorban,” katanya.

AS yang merupakan sekutu kuat Israel menghalang UNSCR daripada mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai Palestin sejak minggu lalu. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya