BUCHAREST: Kerajaan Romania membuat kelainan dengan menjadikan Istana Bran atau lebih dikenali sebagai `Istana Dracula’ yang terletak di wilayah Transylvania sebagai lokasi pusat vaksinasi Covid-19 dalam usaha mengalakkan orang ramai menerima suntikan tersebut.
Lapor BBC, petugas kesihatan yang memakai sut perlindungan dengan pelekat bergambar gigi taring seperti dracula menawarkan suntikan vaksin keluaran Pfizer kepada orang ramai yang mengunjungi Istana Bran abad ke-14 di tengah Romania.
Ia merupakan sebahagian usaha kerajaan untuk mengalakkan lebih ramai penduduk Romania mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.
Romania merekodkan lebih sejuta kes jangkitan Covid-19 dan kira-kira 29,000 kes kematian sejak bermulanya pandemik.
Kerajaan Romania berhasrat mahu menyuntik 10 juta penduduk dengan vaksin Covid-19 menjelang September ini.
Berdasarkan tinjauan dijalankan oleh Globesec, hampir separuh penduduk Romania menyatakan bahawa mereka tidak gemar mendapatkan suntikan vaksin itu.
Pihak pengurusan Bran Castle berharap agar inisiatif unik itu dapat meningkatkan jumlah pengambilan vaksin Covid-19 di negara tersebut.
Pada setiap hujung minggu bulan ini, orang ramai boleh mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 tanpa janji temu di samping melawat pameran yang menampilkan 52 peralatan khas pada zaman pertengahan di istana berkenaan.
“Ideanya bagi menunjukkan bagaimana penduduk mendapat suntikan pada 500 hingga 600 tahun yang lalu di Eropah,” kata Pengarah Pemasaran Istana Bran, Alexandru Priscu kepada agensi berita Reuters. – AGENSI










