NEW DELHI: Krisis pandemik Covid-19 yang semakin parah di India menyebabkan pengeluar vaksin terbesar di dunia itu didakwa sudah tidak mampu lagi untuk mengeksport bekalan bagi keperluan antarabangsa.
Lapor CNN, Institut Serum India (SII) memaklumkan pihaknya tidak akan membuat sebarang penghantaran bekalan vaksin untuk skim COVAX sehingga akhir tahun ini.
SII merupakan pembekal utama terbesar vaksin Covid-19 bagi skim COVAX.
Penangguhan penghantaran bekalan vaksin untuk COVAX bakal menimbulkan masalah besar bagi negara-negara membangun yang bergantung pada skim antarabangsa untuk mengawal pandemik tersebut.
Menurut Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), dunia kini mengalami kekurangan sebanyak 140 juta dos vaksin dan jumlah itu dijangka mencapai 190 juta menjelang akhir bulan depan.
UNICEF memaklumkan, ketika ini, tiada jangka masa untuk mengatasi kekurangan tersebut.
Keadaan itu sekali gus menimbulkan masalah bukan hanya untuk negara yang mempunyai akses terhad kepada vaksin Covid-19 tetapi seluruh dunia.
Berdasarkan data dari Pakatan Vaksin Global (GAVI), lebih 111 juta dos vaksin ditetapkan untuk penghantaran antara Februari dan Mei tahun ini terutamanya ke negara Afrika dan Asia Pasifik.
Namun, setakat Selasa lalu, hanya kira-kira 30 juta dos vaksin SII sahaja sudah diedarkan menerusi COVAX.
Berdasarkan UNICEF, kelewatan penghantaran bekalan oleh SII merupakan antara punca utama pelaksanaan COVAX begitu ketinggalan.
Ketua Pegawai Eksekutif SII, Adar Poonawalla memaklumkan, SII mula mengagihkan vaksin kepada negara luar pada awal tahun ini ketika kes Covid-19 di India menurun dan negara lain memerlukan bekalan vaksin.
Namun, ketika kes Covid-19 di India semakin bertambah, SII menyediakan bekalan vaksin untuk keperluan domestik susulan terdapat peningkatan dalam permintaan.
Kerajaan India menafikan laporan akhbar kononnya SII sudah menghentikan eksport vaksin Covid-19.










