NEW DELHI: Sebanyak 20 orang dari utara India didakwa diberi suntikan vaksin Covid-19 yang berlainan dalam satu kempen vaksinasi dilaksanakan di negara itu.
Lapor BBC, kesemua individu diberi dos pertama vaksin Covishield (AstraZeneca) pada awal April lalu.
Namun, mereka kemudian didakwa menerima suntikan dos kedua vaksin Covaxin pada bulan ini.
India ketika ini tidak membenarkan penggunaan vaksin Covid-19 yang berlainan.
Kajian sedang dijalankan di seluruh dunia untuk menentukan keselamatan dan keberkesanan penggunaan dua dos vaksin Covid-19 yang berlainan.
Menurut pihak berkuasa, setakat ini, semua individu tersebut berada dalam keadaan yang sihat dan tidak mengalami kesan sampingan.
Pihak berkuasa di daerah Siddharthnagar di Uttar Pradesh telah melancarkan siasatan terhadap kes tersebut.










