GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memaklumkan varian B1617 yang menjadi punca peningkatan kes Covid-19 di India, kini ditemui di lebih banyak lagi negara.
Menurut Agensi kesihatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), varian yang pertama kali ditemui di India pada Oktober tahun lalu, dikesan dalam lebih 4,500 sampel yang dimuat naik di pangkalan data dari 44 negara.
“WHO menerima laporan bahawa varian itu dikesan di lima lagi negara,” jelas WHO menerusi kemas kini epidemiologi mingguan mengenai pandemik tersebut.
Menurut WHO, setakat ini, Britain melaporkan jumlah kes Covid-19 yang tertinggi melibatkan varian B1617.
Semalam, WHO mengklasifikasikan varian B1617 sebagai kebimbangan global.
WHO memberitahu beberapa kajian awal menunjukkan varian B1617 lebih mudah menular.
Sebelum ini, WHO menyenaraikan B1617 mempunyai ciri dan mutasi yang sedikit berbeza.
Label itu secara tidak langsung menunjukkan varian itu lebih berbahaya berbanding versi asal virus berkenaan yang lebih mudah menular, membawa maut dan mampu menembusi kekebalan perlindungan vaksin. – AFP











