Covid-19 hancurkan politik Narendra Modi - Utusan Malaysia

Covid-19 hancurkan politik Narendra Modi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW DELHI: Tanggal 29 April lalu, seorang ahli Rashtriya Swayamsevak Sangh (RSS), Jaiswal, 42, meninggal dunia di Mathura selepas 10 hari disahkan positif Covid-19. 

Keluarga mendiang Jaiswal berulang kali menghantar mesej dalam Twitter kepada Perdana Menteri, Narendra Modi, namun, tiada bantuan yang tiba. 

Berang dengan keadaan itu, keluarga Jaiswal bertindak mengoyakkan poster Modi yang ditampal di bahagian kereta dan mereka bersumpah tidak akan memaafkan Modi disebabkan sikap tidak peduli itu. 

Kakak mendiang, Sonu Alagh memberitahu, mereka sekeluarga dilanda kemurungan dan tidak mahu bercakap dengan sesiapa kerana tiada pihak yang boleh membantu mereka. 

Mathura adalah sebuah pekan kecil di Uttar Pradesh, yang mengambil masa selama tiga jam perjalanan dari ibu negara India, manakala, RSS adalah sebuah organisasi Hindu berhaluan kanan ditubuhkan sejak 1925. 

RSS menjadikan Parti Bharatiya Janata (BJP) yang dipimpin oleh Modi sebagai sumber ideologi.

 

PENYOKONG MODI KECEWA

Ramai penyokong Modi menzahirkan kekecewaan mengenai cara beliau menangani krisis Covid-19 di negara ini.

Ribuan dalam kalangannya begitu marah sehingga menyifatkan pentadbiran Modi sudah gagal dan tidak layak melindungi rakyat India.

Malah, dalam tempoh dua bulan terakhir, platform media sosial termasuk Facebook dan Twitter dibanjiri tanda pagar anti-Modi seperti #ResignModi #ModiFailsIndia dan #ModiaAgainstNation

Modi turut berdepan kritikan antarabangsa ekoran kelumpuhan ekonomi dan kebebasan politik yang semakin merosot serta menghadapi ancaman terbesar gelombang Covid-19 kedua di seluruh India. 

 

HANYA MAIN POLITIK 

Pada Februari dan Mac lalu, di sebalik amaran Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) mengenai ancaman varian Covid-19 baharu yang ditemui di India, Modi seperti tidak mengambil kisah apabila tetap meneruskan kempen pilihan raya di lima negeri termasuk di Bengal Barat. 

Kempen pilihan raya itu disertai puluhan penceramah serta 10,000 penyokongnya di seluruh negara.

Minggu lalu, Kesatuan Guru Sekolah Rendah di Uttar Pradesh memaklumkan, hampir 1,600 guru maut akibat Covid-19 selepas mereka ditugaskan menjadi pegawai pusat mengundi.

Angka kematian di India ketika ini sudah meragut 300,000 nyawa selain menyaksikan fasiliti kesihatan semakin ‘hilang kawalan’ serta bekalan oksigen tidak mencukupi. 

Bagaimanapun, serangan itu ditangkis oleh ahli politik BJP, Sudhanshu Mittal yang mendakwa pihak kerajaan sudah melakukan sehabis baik untuk membendung penularan wabak. 

“Kesihatan adalah subjek penting negara dan beberapa negeri dilihat cuba bermain politik. Sedangkan, ini adalah bukan masa untuk berpolitik atau saling menyalahkan kerajaan,” katanya. 

 

NEKAD TAK UNDI MODI 

Seorang pemilik restoran, Chetan Kaushal yang dipaksa menutup operasi perniagaan disebabkan tempoh berkurung tahun lalu, berkata, dia mengundi Modi walaupun pemimpin itu terpalit dengan pelbagai kesalahan semasa menjadi perdana menteri bagi penggal pertama (2014 hingga 2019). 

“Saya percaya beliau layak diberi peluang kedua tetapi saya tidak fikir mahu mengundinya lagi selepas ini,” luahnya. 

Bagi Achyut Trivedi yang bekerja sebagai pegawai pemasaran profesional serta merupakan ahli aktif BJP selama 12 tahun, individu sepertinya sudah memutuskan tidak akan membuat kesilapan berulang untuk mengundi Modi buat kali ketiga. 

“Saya tidak akan mengundinya lagi selepas apa yang berlaku kepada keluarga saya serta seluruh penduduk India,” jelasnya. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN