GENEVA: Skim antarabangsa bagi memastikan semua negara mendapat akses sama rata kepada bekalan vaksin Covid-19 dilaporkan mengalami kekurangan sebanyak 140 juta dos vaksin disebabkan krisis pandemik berterusan di India.
Lapor BBC, Institut Serum India (SII), pembekal utama terbesar vaksin Covid-19 untuk skim COVAX, masih belum membuat sebarang penghantaran lagi seperti dirancang sejak eksport ditangguhkan pada Mac lalu.
Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) membeli dan mengagihkan vaksin Covid-19 untuk skim COVAX.
Justeru, UNICEF menggesa pemimpin negara kumpulan G7 untuk menyumbang lebihan bekalan vaksin Covid-19 mereka.
Negara kumpulan G7 terdiri daripada Kanada, Perancis, Jerman, Itali, Jepun, United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS) serta Kesatuan Eropah (EU) badan sebagai pemerhati.
Pemimpin kumpulan G7 dijangka mengadakan perbincangan di UK pada bulan depan.
Menurut UNICEF, data yang dikumpulkannya mengesyorkan kumpulan negara terbabit boleh menyumbang kira-kira 153 juta dos vaksin Covid-19.
Sebelum ini, SII sepatutnya mengagihkan kira-kira separuh daripada dua bilion dos vaksin bagi COVAX pada tahun ini namun setakat ini dilaporkan tiada penghantaran dibuat pada Mac, April dan Mei.
Kekurangan itu dijangka meningkat kepada 190 juta dos pada akhir Jun depan.
“Malangnya, kami berada dalam situasi tidak pasti bila bekalan dos vaksin seterusnya akan dihantar.
“Harapan kami agar semuanya berjalan lancar tetapi keadaan di India tidak dapat dipastikan dan ia memberi kebimbangan besar,” kata penyelaras COVAX UNICEF untuk bekalan vaksin, Gian Ghandi.
COVAX, sebuah inisiatif antarabangsa yang dipimpin oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), menyediakan bekalan vaksin Covid-19 untuk negara miskin dan berpendapatan rendah. – AGENSI











