BANDUNG: Seorang kanak-kanak berhati mulia kerana membantu sebuah ambulans menempuh kesesakan jalan yang dipenuhi kenderaan di Jalan Soekarno Hatta, Bandung.
Lapor Tribunnews, kanak-kanak yang berada di atas jalan raya itu sanggup berjalan mengundur ke belakang bagi memberikan ambulans laluan untuk sampai ke hospital dengan kadar segera.
Kisah itu menjadi tular dalam media sosial apabila dimuat naik oleh seorang lelaki yang mendapat rakaman itu daripada rakannya yang berada di dalam ambulans semasa hari kejadian.
Menurut Teebob, rakannya sedang membawa pesakit yang mengalami sakit jantung untuk ke Hospital Kota Bandung.
Semasa dalam perjalanan, tiba-tiba muncul seorang kanak-kanak yang dikenali sebagai Adrian datang membantu membuka laluan.
Kanak-kanak itu tinggal bersama ibu dan bapanya yang bekerja menjual tisu dan air mineral di persimpangan lampu isyarat Samsat-Kircon.
Adrian yang berusia tujuh tahun dikatakan belum boleh membaca dan tidak meneruskan persekolahan akibat pernah dibuli.
Disebabkan itu, Teebob dan rakan-rakannya mengambil inisiatif membantu Adrian dengan memberikan bantuan pendidikan.









