Banduan Thailand bebas awal   - Utusan Malaysia

Banduan Thailand bebas awal  

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK: Thailand akan memberikan pelepasan awal kepada beberapa banduan dalam usaha mengurangkan kesesakan di penjara akibat pandemik Covid-19.

Menteri Keadilan, Somsak Thepsuthin mengakui populasi banduan sudah melebihi kapasiti penjara sedia ada dan mencadangkan supaya mengubah saiz bangunan itu.

Katanya, pelan itu sedang diusahakan oleh jawatankuasa parol.

“Sebaik sahaja dibebaskan, mereka perlu melengkapkan tempoh kuarantin. Itu adalah piawaian yang sama diamalkan kerana kita tidak akan benarkan sama sekali pesakit yang sudah dijangkiti wabak bebas.

“Mereka perlu menjalani ujian di hospital sejurus dibebaskan. Ini adalah tanggungjawab bersama dan jaminan kami kepada semua, ia akan dilaksanakan dengan cermat. Kami akan memastikan mereka tidak menyebarkan jangkitan Covid-19,” katanya.

Gelombang baharu virus menyerang fasiliti penjara di seluruh negara apabila lebih 100,000 individu terkesan akibat wabak itu di Thailand sejak April lalu, termasuk 18,000 banduan.

PETUGAS kesihatan memberikan suntikan vaksin kepada banduan di penjara. -AFP

ADA KES POSITIF

Bagaimanapun, terdapat kes apabila bekas banduan disahkan positif Covid-19 sebaik dibebaskan.

Antaranya ialah aktivis politik, Panusaya Sithija Wattanakul yang ditahan di Institusi Koreksional Wanita selama dua bulan berhubung dakwaan fitnah terhadap keluarga diraja.

Dia dibebaskan dengan jaminan 6 Mei lalu, dan disahkan positif selepas menjalani ujian calitan 10 Mei lalu yang turut menjangkiti ahli keluarganya.

Minggu lalu, Thailand merekodkan ribuan kes baharu setiap hari dengan bilangan besar kes berpunca dari Penjara Reman Thonburi.

Penjara itu menempatkan seramai 3,900 banduan dengan 81 peratus daripadanya dijangkiti virus tersebut.

Situasi sama turut membimbangkan Institusi Koreksional Wanita kerana berdasarkan data terkini Jabatan Koreksional, lebih 4,483 banduan iaitu bersamaa 26 peratus menerima rawatan perubatan akibat Covid-19.

Selasa lalu, Jabatan Koreksional melaporkan 15,914 banduan di 13 penjara menerima rawatan Covid-19 dengan Penjara Chiang Mai di utara Thailand merekodkan kes paling tinggi dengan 3,500 banduan disahkan positif.

SEL PENJARA SESAK

Seorang bekas banduan, Hatairat Ploy Kaewseekram memberitahu CNA, dia ditempatkan di Institusi Koreksional Wanita di dalam sel bersama 19 banduan lain awal bulan lalu.

Katanya, sel yang bersaiz seperti bilik empat segi itu sesak dengan dilengkapi kipas dan satu tandas terbuka yang dipisahkan dengan dinding yang sedikit rendah.

Ploy yang pernah menuntut pengajian sains politik di Universiti Ramkhamhaeng di Bangkok menjelaskan, tiada cecair pembasmi kuman disediakan semasa dia ditahan dan setiap banduan hanya diberikan dua pelitup muka bersaiz nipis.

“Kami juga perlu meletakkan barangan peribadi seperti berus gigi, ubat gigi dan sudu dalam satu bekas. Kami perlu duduk, makan dan tidur bersama,” luahnya.

Pelajar universiti berusia 20 tahun itu ditahan semasa protes menentang kerajaan.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN