GLOUCESTERSHIRE: Sebuah bandar di daerah ini, Stroud dinobatkan sebagai tempat paling terbaik untuk tinggal di United Kingdom.
Lapor Daily Mail, gelaran itu diberikan selepas pihak juri memuji kemudahan perhubungan pengangkutan, keadaan luar bandar, sekolah dan ‘semangat berdikari’ di kawasan itu.
Bandar itu menghuni carta teratas daripada senarai 78 lokasi di seluruh negara yang disenaraikan Sunday Times yang melihat aspek kawasan yang dibangunkan, rumah yang direka baik dan semangat kejiranan.
Purata harga rumah di Stroud bernilai 265,000 pound (RM1.5 juta) dan harga sewa 700 pound (RM4,000) yang dinobatkan sebagai harga paling terbaik di UK.
Editor The Times and Sunday Times, Helen Davies berkata, Stroud dipilih sebagai pemenang kerana mempunyai semua aspek yang sempurna seperti sekolah yang cemerlang, rangkaian pengangkutan yang selesa dan akses mudah ke kawasan hijau.
“Paling terbaik, ia mempunyai semangat bebas yang unik di kawasan makanan tempatan yang mengagumkan dan pasar tani mingguan yang cemerlang dengan menyatukan bandar dan kawasan sekitarnya,” katanya.
Menurut Helen, penilaian pemilihan selepas pandemik Covid-19 juga berubah kerana memfokuskan kepada penduduk, keselesaan dan kawasan luar bandar.
Disebabkan wabak itu juga, para juri tidak dapat melakukan lawatan secara kerap ke kawasan bandar, pekan dan kampung di UK.
Sebaliknya, mereka menggunakan kaedah perbualan dengan penduduk yang mahu berkongsikan kebahagiaan di tempat tinggal mereka.










