LONDON: Seorang lelaki didapati bersalah kerana membunuh kucing jirannya secara kejam selepas haiwan itu berulang kali menyerang burung peliharaan dan merosakkan tanamannya.
Lapor Metro, tukang kebun, Richard Giles, 69, membunuh kucing bernama Ruby dengan mengikatnya di dalam sebuah guni dan melemaskan haiwan itu dalam tong air sehingga mati sebelum membuangnya di parit.
Mahkamah Majistret Weymouth di Dorset menjatuhkan hukuman terhadap Giles atas tuduhan melakukan kekejaman terhadap haiwan.
Dia dikenakan hukuman penjara 12 minggu yang digantung selama setahun.
Namun, ahli perniagaan sudah bersara itu diarahkan membayar pampasan sejumlah 1,000 pound (RM5,690) kepada pemilik kucing tersebut dan kos mahkamah sebanyak 728 pound (RM4,142).
Dalam sesi pendengaran, mahkamah dimaklumkan mengenai satu kejadian apabila Shirley Gear-Evans, 65, bertanya pada Giles sama ada pernah melihat haiwan kesayangannya yang hilang setelah mencarinya selama dua hari.
Giles lantas memberitahu Evans bahawa dia tidak akan menemukan kucingnya lagi kerana sudah membunuhnya.
Dilaporkan, Giles berasa marah dengan kucing itu yang asyik berkeliaran dan menganggu hartanah miliknya bernilai satu juta pound (RM5.69 juta) berhampiran Sherborne.
Pihak pendakwa bagi Royal Society for the Prevention of Cruelty to Animals (RSPCA), Matthew Knight memaklumkan Giles dalam soal siasat mengakui membunuh kucing tersebut.
“Dia mendakwa membunuh kucing itu kerana berasa bimbang dengan kuman serta ancaman kucing itu terhadap burung peliharaannya,” katanya.










