LONDON: Amalan berpuasa di United Kingdom (UK) semasa bulan Ramadan tahun lalu secara jelas menunjukkan bukan penyumbang terhadap peningkatan kes kematian akibat wabak Covid-19 dalam kalangan orang Islam.
Menerusi laporan berdasarkan kajian yang disiarkan minggu ini oleh Jurnal Kesihatan Global, tiada bukti yang menunjukkan penganut Islam di Britain yang berpuasa selama sebulan lebih banyak mati akibat jangkitan virus itu.
Bulan Ramadan yang bakal tiba dalam dua minggu sahaja lagi menuntut umat Islam di seluruh dunia menahan diri daripada lapar dan dahaga bermula dari terbit fajar sehingga terbenam matahari.
Terdapat lebih tiga juta atau lima peratus populasi penduduk Islam yang tinggal di UK dengan kebanyakan berasal dari negara Asia Selatan.
Kebanyakan komuniti Muslim terkesan akibat pandemik termasuk kumpulan minoriti lain.
“Kajian kami mendapati amalan berpuasa semasa bulan Ramadan tidak mempunyai perkaitan dengan kematian akibat Covid-19,” katan laporan itu.
TIADA KERUGIAN
Laporan itu berdasarkan analisis perbandingan kadar kematian Covid-19 semasa Ramadan tahun lalu yang bermula selepas gelombang pertama pandemik melanda UK.
Penyelidik menganalisis kadar kematian di 12 kawasan di England dengan populasi Muslim sekurang-kurangnya 20 peratus.
Pakar mendapati angka kematian jatuh dalam keadaan stabil semasa tempoh bulan puasa.
Malah, trend itu terus berlanjutan selepas Ramadan dengan menyaksikan tiada kesan buruk daripada amalan berpuasa di kawasan penduduk Islam.
Penulis bersama kajian itu, Salman Waqar memberitahu Al-Jazeera, penemuan itu menunjukkan Ramadan tidak mempunyai kesan buruk terhadap penemuan virus Covid-19.
Data yang direkodkan itu sekali gus menangkis dakwaan daripada beberapa ahli politik yang melabelkan umat Islam perlu bertanggungjawab terhadap peningkatan kes tahun lalu.
Majlis Muslim Britain (MCB) turut menegaskan laporan terkini itu menyangkal tanggapan negatif kononnya orang Islam akan melanggar peraturan perintah berkurung semasa Ramadan dan menyebabkan lonjakan jangkitan kes positif Covid-19.
BEBAS PRASANGKA
Jurucakap MCB, Omar Begg berharap bulan Ramadan akan bebas daripada sangkaan dan tindakan pragmatik diambil bagi mengelakkan ketidaksamarataan isu yang timbul akibat pandemik.
Bagi Salman pula, dia berharap setiap orang Islam di Britain mengambil langkah berjaga-jaga semasa bulan yang mulia ini, walaupun tempoh berkurung di UK dilonggarkan, kadar jangkitan menurun serta kepantasan kempen vaksinasi.









