KARACHI: Ketika ini, semua negara saling berlumba siapakah paling pantas dalam melaksanakan program vaksinasi Covid-19 dan negara mana mempunyai bekalan vaksin terbanyak.
Keadaan itu sedikit berbeza bagi golongan pelarian Afghanistan yang ‘bermastautin’ di wilayah selatan Pakistan apabila mereka hanya mahukan duit dan bukannya vaksin dari kerajaan untuk melindungi diri daripada koronavirus.
Golongan tersebut memaklumkan kem pelarian yang dihuni ketika ini bebas jangkitan Covid-19 dan mereka sudah ‘cukup selamat’.
Lebih menyedihkan, wakil pelarian Afghanistan memberitahu mereka langsung tidak mempunyai sebarang maklumat mengenai program vaksinasi Covid-19.
Malah, sebahagian besar pelarian turut mendakwa tiada kes kematian akibat Covid-19 berlaku di kem itu, sekali gus mencetuskan kebimbangan mengenai kurangnya kesedaran berkaitan pendemik itu dalam kalangan golongan tersebut.
Sekurang-kurangnya 1.4 juta pelarian Afghanistan menetap di 54 kem di seluruh negara ini yang kebanyakkannya terletak di wilayah barat laut Khyber Pakhtunkhwa dan barat daya Balochistan.
Beberapa kem pelarian juga terletak di bandar besar seperti di Karachi dan Islamabad.
“Tiada sesiapa menghubungi kami untuk vaksinasi. Bahkan, saya rasa golongan pelarian tidak akan mendapat kemudahan itu.
“Ada dalam kalangan pelarian yang percaya vaksin hanya menyebabkan kematian, bukannya perlindungan dari Covid-19,” kata seorang aktivis di kem pelarian New Saranan di wilayah barat daya Balochistan, Zahir Pashtun kepada Arab News.
Zahir berkata, wabak itu tidak pernah menyebabkan kematian di kem pelarian tersebut namun hanya menjejaskan kewangan mereka terutamanya pembayaran gaji harian sejak pandemik itu melumpuhkan ekonomi Pakistan pada Mac tahun lalu.
Di kem tersebut, seorang pekerja berkata, kerajaan sepatutnya memberi wang berbanding vaksin kepada pelarian.
Seorang guru yang bekerja di sekolah pelarian Syed Jamaluddin Afghan di Sindh, Zabihullah Ahmadi berkata, tiada petanda atau kesedaran mengenai pandemik Covid-19 dalam komunitinya.
“Apabila kerajaan mahu memberi suntikan vaksin kepada pelarian, mereka perlu meningkatkan kesedaran mengenai pandemik tersebut.
“Namun begitu, majoriti pelarian Afghanistan mungkin tidak akan mendapatkan suntikan vaksin kerana mereka tidak menganggapnya sebagai penyakit,” kata Zabihullah.
Lebih 14,000 penduduk di Pakistan meninggal dunia akibat Covid-19 sejak Mac tahun lalu.
Terdapat 4,500 kes kematian akibat Covid-19 di wilayah Sindh manakala lebih 200 kematian dilaporkan di Balochistan.
Jurucakap bagi Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Pelarian, Qaiser Afridi berkata, pihaknya akan meningkatkan kesedaran mengenai pandemik Covid-19 setelah satu sistem untuk mendaftarkan golongan itu siap sepenuhnya.
Katanya, satu kumpulan kerja teknikal ditubuhkan untuk membantu golongan pelarian berhubung isu vaksin.
Tambah beliau, pelarian akan mendaftar secara dalam talian seperti rakyat Pakistan dengan menggunakan kad Bukti Pendaftaran dan menunggu jemputan untuk mendapatkan vaksin di pusat vaksinasi berhampiran.
Dalam pada itu, seorang pelarian Afghanistan dari selatan wilayah Sindh, Mullah Abdul Rehman berkata, pandemik Covid-19 dilihat tidak cukup ‘berbahaya’ oleh kebanyakan pelarian.
Kata Mullah, dia hanya akan menggunakan pelitup muka selepas merentasi jambatan Sohrab Goth yang menuju ke Karachi.
Dakwanya, kem pelarian yang dihuninya merupakan `kawasan bebas pelitup muka’ dan mereka tidak perlu mematuhi sebarang protokol Covid-19.
Sementara itu, keadaan berbeza di kem pelarian yang terletak luar wilayah selatan Pakistan apabila penghuninya memilih untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.
Di wilayah Khyber Pakhtunkhwa, pelarian menyedari tentang bahaya koronavirus dan kesannya terhadap kesihatan.










