Indonesia, Timor Leste dilanda musibah - Utusan Malaysia

Indonesia, Timor Leste dilanda musibah

SEORANG wanita warga emas bersama cucunya berdiri di depan rumah mereka yang musnah akibat banjir lumpur di Haitimuk, Flores Timur, Indonesia. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LEMBATA: Taufan Tropika Seroja membadai Indonesia dan Timor Leste hari ini selepas hujan lebat mencetuskan banjir besar di kedua-dua negara yang menyebabkan sekurang-kurangnya 91 orang terkorban dan puluhan yang lain hilang.

Membawa angin kencang dan hujan lebat, Seroja memburukkan lagi bencana banjir yang berlaku, menyaksikan ribuan penduduk hilang tempat tinggal akibat kemusnahan infrastruktur.

Menurut agensi bencana Indonesia, Seroja dijangka menyebabkan hujan lebat berterusan sehingga esok dan laut bergelora dengan ombak setinggi enam meter.

Sebanyak 70 orang terkorban dalam bencana banjir lumpur di daerah Flores Timur di Nusa Tenggara Timur, manakala 21 maut akibat insiden sama di Dili, Timor Leste.

Di Flores Timur, banjir lumpur menyebabkan insiden tanah runtuh yang menimbus banyak kediaman, memusnahkan jambatan dan jalan-jalan utama.

Situasi itu menyukarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan di Flores Timur, selain jalan laut tidak dapat dilalui susulan ombak besar.

 

 TERIAKAN MANGSA TERPERANGKAP 

Selepas banjir lumpur melanda Flores Timur, seorang penduduk, Basir Langoday berkata, dia terdengar suara mangsa menjerit meminta pertolongan dari rumah berdekatan yang ditimpa tanah runtuh. 

“Sebanyak empat mangsa terperangkap di dalam rumah, dengan tiga berjaya menyelamatkan diri manakala, seorang lagi mangsa masih berada di dalam rumah,” katanya. 

Semasa kejadian, Basir dan kawan-kawannya berusaha menyelamatkan lelaki yang terperangkap sebelum dia akhirnya meninggal dunia

 

JOKOWI SIMPATI  

Dalam pada itu, Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) merakamkan takziah berhubung bencana yang berlaku. 

“Saya memahami kesedihan yang ditanggung oleh saudara-saudara kita kerana bencana ini,” katanya dalam ucapan yang disiar secara langsung. 

Ketua Agensi Bencana, Flores Timur, Alfons Hada Benthan berkata, kesemua penduduk yang terjejas memerlukan bantuan bekalan asas seperti ubat-ubatan, makanan dan selimut. 

“Hujan lebat menyukarkan usaha mencari mangsa yang masih hidup. Kami mengesyaki ramai penduduk, selain jumlah mangsa yang hilang tidak dapat dipastikan,” ujarnya.

Di Lembata, pihak berkuasa tempatan menggunakan jentera berat untuk membuka semula jalan yang ditimbus tanah dan bersalut lumpur. 

Penduduk setempat pula cuba membantu pasukan keselamatan mencari mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan rumah.

Sementara itu, kira-kira 2,500 penduduk Timor Leste dipindahkan ke tempat perlindungan sementara. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×