ACEH: Kisah seorang kanak-kanak berusia 11 tahun di Kampung Meunasah Trieng yang kelihatan kurus keding sehingga menampakkan tulangnya menjadi tular dalam media sosial.
Lapor Kompas.com, ayahnya, Bukhari, 40, berkata, anaknya ditimpa penyakit sejak tahun lalu dan mengalami kesukaran mengunyah makanan, menelan air serta kerap muntah.
“Pada mulanya, anak saya diserang demam panas tahun lalu. Selepas itu, keadaannya terus menjadi lemah seperti sekarang,” luahnya.
Bukhari berkata, dia pernah membawa anaknya, Putri Aura ke klinik kesihatan untuk mendapatkan rawatan serta mencuba kaedah perubatan tradisional.
Namun, sehingga sekarang keadaan anaknya masih sama sehingga pihak hospital mengesahkan dia menderita penyakit paru-paru dan demam kepialu.
“Saya mempunyai empat anak dan tidak mempunyai wang mencukupi untuk menampung kos rawatan di hospital. Malah, setiap hari juga sukar hendak mendapatkan makanan,” katanya.
Bagaimanapun, nasib kanak-kanak itu akhirnya mendapat perhatian Setiausaha Wilayah Aceh Utara, Murthala dan dia dirujuk ke Hospital Besar Zainal Abidin di Banda Aceh.










