JAKARTA: Jawatankuasa Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan Indonesia (KNKT) mendedahkan perakam suara kokpit (CVR) milik pesawat Sriwijaya Air yang terhempas di Kepulauan Seribu pada 9 Januari lalu ditemukan petang kelmarin menerusi kaedah penyedutan lumpur.
Ketua KNKT, Soerjanto Tjahjono berkata, pasukan keselamatan menggunakan kaedah tersebut menggunakan kapal korek.
“Lokasi yang disasarkan dipenuhi dengan lumpur, maka kami gunakan kapal korek yang mempunyai kelengkapan menyedut lumpur untuk mengesan CVR Sriwijaya.
“Selepas dua bulan dan pelbagai usaha dilakukan, akhirnya CVR Sriwijaya ditemukan,” katanya kepada Kompas.com.
Soerjanto menyatakan penemuan itu membolehkan pihak berkuasa mengenal pasti punca nahas pesawat yang terhempas di Kepulauan Seribu pada 9 Januari lalu.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang bertungkus-lumus mencari serta mengesan CVR pesawat terbabit.
“Perakam data penerbangan (FDR) ditemukan pada 12 Januari lalu dan kini CVR juga sudah ada, maka pencarian bahan penting untuk menyiasat punca nahas sudah lengkap,” ujarnya.
Ketika kejadian, pesawat Sriwijaya Air yang dalam perjalanan dari Jakarta ke Pontianak dengan membawa seramai 62 penumpang termasuk anak kapal terhempas beberapa minit sejurus berlepas.










