BANGKOK: Sidang Kemuncak ASEAN yang akan diadakan di Brunei pada bulan ini bakal mengetengahkan isu berhubung etnik Karen di Myanmar yang melarikan diri ke Thailand susulan pergolakan politik yang berlaku di negara itu.
Menteri Luar Thailand, Don Pramudwinai berkata, Bangkok memantau rapat situasi yang berlaku.
“Saya tidak boleh dedahkan butiran perkara berkenaan, namun matlamatnya adalah memulihkan semula keamanan di Myanmar dan komuniti ASEAN secepat yang boleh,” katanya kepada Nation Thailand.
Kira-kira 2,000 pelarian Karen berada di daerah Mae Sariang dan Khun Yuam, di wilayah Mae Hong Son, Thailand.
Gabenor Mae Hong Son, Sithichai Jindaluang berkata, pihak berkuasa menyediakan tempat tinggal dan keperluan lain untuk golongan tersebut.
Dilaporkan, ribuan penduduk Karen melarikan diri ke Thailand selepas pasukan tentera Myanmar mengebom kawasan yang dikuasai kumpulan militia.
“Penduduk Karen sudah merentasi sempadan sejak 11 Mac lalu ketika situasi di Myanmar mula memuncak,” ujar Sitichai dalam satu sidang akhbar.
Jelas beliau, pihak berkuasa Thailand juga berunding dengan pelarian untuk mereka pulang semula ke Myanmar secara sukarela.
Sementara itu, pihak berkuasa negara ini memaklumkan kira-kira 56 pelarian Myanmar sudah pulang semula ke tempat asal mereka secara sukarela pada pagi semalam.










