WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) dan Malaysia melahirkan kebimbangan serius mengenai tindakan rampasan kuasa yang dilakukan oleh junta tentera di Myanmar.
Itu antara perkara disuarakan oleh Setiausaha AS, Anthony Blinken dan Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menerusi perbualan telefon, semalam.
Jurucakap Pejabat Setiausaha Negara AS, Ned Price berkata, kedua-dua pemimpin itu juga berkongsi pandangan mengenai pelbagai isu dalam usaha memperluaskan lagi kepentingan bersama antara AS dan Malaysia.
“Mereka turut berbincang untuk memperkukuhkan lagi kerjasama di wilayah Indo-Pasifik menerusi platform ASEAN dan forum yang lain,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam perbincangan tersebut, Blinken menegaskan peranan penting ASEAN di wilayah Indo-Pasifik.
“Beliau juga menggariskan kepentingan untuk mempromosikan kebebasan navigasi, penerbangan dan berkaitan perairan secara undang-undang termasuk di Laut China Selatan,” katanya.










