Antisipasi China ‘tawan dunia’ - Utusan Malaysia

Antisipasi China ‘tawan dunia’

EMPANGAN mega yang dirancang China di Himalaya mempunyai kapasiti menjana tiga kali ganda kuasa elektrik berbanding Three Gorges. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIJING: China merancang untuk membina empangan mega di Tibet yang berupaya menjana kuasa elektrik tiga kali ganda berbanding empangan Three Gorges yang kini merupakan stesen jana kuasa terbesar dunia.

Namun, rancangan itu ternyata membimbangkan kumpulan pencinta alam sekitar dan negara jirannya iaitu India.

Struktur empangan mega itu dijangka seluas sehingga merentasi Sungai Brahmaputra sebelum aliran air melintasi pergunungan Himalaya hingga ke India dan melalui kanyon terdalam serta terpanjang di dunia yang terletak pada ketinggian lebih 1,500 meter.

Projek yang dirancang untuk dilakukan di daerah Medog, Tibet itu dijangka mengatasi pembinaan empangan Three Gorges di Sungai Yangtze yang mampu menjana kira-kira 300 bilion kilowatt elektrik setiap tahun.

Cadangan pembinaan empangan mega itu dibentangkan dalam pelan Lima Tahun Ke-14 China pada bulan lalu.

Bagaimanapun, pelan pembinaan, tempoh masa serta peruntukan yang diperlukan untuk membangunkan empangan itu masih belum diperincikan.

Empangan tersebut dirancang dibina di sungai yang dikenali sebagai Yarlung Tsangpo oleh penduduk Tibet.

 

Idea yang ‘teruk’

Beijing berkemungkinan menyifatkan projek pembinaan empangan itu sebagai ‘mesra alam’, namun masih berisiko mendapat tentangan daripada kumpulan pencinta alam sekitar, sama seperti ketika Three Gorges dibina antara 1994 dan 2012.

Pembinaan Three Gorges mewujudkan kawasan takungan air dan menyebabkan 1.4 juta penduduk kehilangan tempat tinggal.

Pengarah program kelestarian sumber tenaga dan air di Pusat Stimson iaitu sebuah firma pemikir Amerika Syarikat (AS), Brian Eyler berkata, rancangan pembinaan empangan itu dilihat sebagai ‘idea yang teruk’.

Lokasi pembinaan itu terkenal dengan aktiviti seismik dan mempunyai biodiversiti yang unik.

Empangan yang bakal dibina akan menghalang proses penghijrahan ikan dan pengaliran sedimen yang menyuburkan tanah ketika musim banjir.

Selain itu, pembinaan empangan terbabit boleh menjejaskan ekologi dan politik.

“Kita mempunyai warisan budaya Tibet di lokasi tersebut dan sebarang pembinaan hanya akan menjejaskan ekologinya, malah menenggelamkan sesetengah kawasan.

“Banyak penduduk tempatan akan kehilangan rumah pusaka mereka,” menurut Tempa Gyaltsen Zamlha iaitu pakar alam sekitar di Institut Polisi Tibet.

 

Perang air

Dalam pada itu, New Delhi menzahirkan kebimbangan berhubung pembinaan empangan berkenaan.

Sebagai tindak balas, kerajaan India melancarkan pelan pembangunan untuk membina empangan lain di Sungai Brahmaputra yang dilihat sebagai usaha untuk mengumpul bekalan air.

Pakar politik, Brahma Chellaney berkata, pembinaan empangan mega itu merupakan usaha Parti Komunis China bagi mengawal sumber bekalan air di Asia.

“Sumber air menjadi komponen utama dalam peperangan kerana ia membolehkan China memanfaatkan kekuatannya yang berpusat di Tibet ke atas semua sumber bekalan penting,” ujarnya.

Sementara itu, projek pembinaan tersebut secara tidak langsung mewujudkan ‘bom jangka’ yang berisiko kepada penduduk yang tinggal di kawasan hilir sungai.

“Masih ada masa untuk berunding dengan China mengenai masa depan empangan tersebut dan kesannya terhadap penduduk,” jelas Eyler. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya