fbpx

12 April 2021, 12:48 am

  TERKINI

Zikir pulihkan gengsterisme di Maneberg

KUMPULAN ulama Afrika Selatan menggunakan zikir sebagai kaedah untuk bersihkan jiwa penduduk di pekan Maneberg. - SHIRAAZ MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CAPE TOWN: Sejak tiga tahun lalu, kumpulan ulama di Afrika Selatan memulakan misi untuk membawa keamanan serta memulihkan beberapa kawasan ‘panas’ di Cape Town yang sebelum ini bergelumang dengan kegiatan jenayah.

Setiap hari Khamis tanpa gagal sejak tiga tahun lalu, kumpulan ulama akan pergi ke kawasan seperti Maneberg dan beberapa tempat lain untuk melakukan program kerohanian seperti berzikir dan ceramah agama.

Penganjur program, Sheikh Mogamad Saalieg Isaacs berkata, sesi penyucian jiwa yang mereka adakan sekali seminggu itu tidak pernah diganggu oleh mana-mana kumpulan gengster, malah dapat dijalankan secara lancar dan dalam keadaan tenang.

Katanya, kira-kira 300 hingga 400 orang akan menghadiri setiap sesi zikir yang diadakan.

“Mungkin jumlah itu tidak ramai seperti beberapa program kerohanian yang lain, namun itu tidak menjadi masalah buat kami.

“Apa yang menjadi keutamaan kami adalah setiap peserta dapat menghayati zikir memuji kebesaran Allah SWT dan sesi itu dapat diadakan dengan lancar dan selamat,” katanya.

 

Asal usul Maneberg

Maneberg merupakan pekan kecil yang dibangunkan oleh kerajaan aparteid pada tahun 1960-an untuk komuniti pelbagai kaum serta etnik dan berpendapatan rendah.

Era tersebut menyaksikan golongan kulit putih mengamalkan dasar pengasingan secara paksa mengikut kaum dan penduduk yang miskin akan tinggal di pinggir bandar berbanding komuniti kulit putih menguasai kawasan bandar.

Pekan Maneberg dianggarkan mempunyai populasi melebihi 52,000 yang kebanyakannya beragama Kristian, menganggur, miskin dan sering terlibat dengan kegiatan jenayah.

 

Gencatan senjata

Ketika ini, terdapat perjanjian gencatan senjata di Maneberg melibatkan beberapa kumpulan dan sebelum misi zikir tersebut dimulakan, sekurang-kurangnya empat orang maut dalam insiden berbalas tembakan.

Pihak penganjur berpendapat keganasan di Maneberg tidak akan reda memandangkan kerajaan Afrika Selatan tidak mengambil pendekatan yang sewajarnya untuk memulihkan kawasan tersebut.

Jelas Sheikh Mogamad, dialog melibatkan pemimpin agama merupakan satu langkah permulaan yang baik kerana beliau berpandangan ‘jenayah tidak mempunyai sempadan dan tidak membezakan agama’.

 

Kehadiran dialu-alukan

Setiap kali sesi zikir diadakan, penduduk Maneberg akan memenuhi kawasan program dan kehadiran kumpulan ulama di alu-alukan dengan hati terbuka.

Penduduk Kristian yang tinggal di pekan tersebut juga menghadiri sesi zikir yang diadakan biarpun berbeza agama dan fahaman.

Seorang daripada pengasas program tersebut, Sheikh Sameeg Norodien berkata, penduduk Maneberg akan di jamu manisan yang dikenali sebagai ‘niyaz’ selepas sesi berzikir selesai.

Namun, penduduk di pekan tersebut lebih menyukai makanan panas dan mengenyangkan memandangkan mereka terdiri daripada golongan miskin.

 

Diisytihar zon merah

Maneberg pernah diisytiharkan sebagai zon merah oleh pihak berkuasa Afrika Selatan pada pertengahan 2015, selain pasukan perubatan tidak boleh memasuki pekan tersebut selama beberapa bulan sebelum ini melainkan dengan pengawasan polis.

 

Bentang sejadah

Sheikh Mogamad memaklumkan program zikir mereka semakin diterima umum, malah ada segelintir gengster akan membentangkan sejadah sebelum majlis bermula.

“Kegiatan jenayah dan keganasan di pekan Maneberg dan kawasan lain mula berkurangan antara 2018 dan 2019,” ujarnya.

Sehubungan itu, pasukan penganjur program tersebut menerima anugerah daripada polis Maneberg atas jasa serta sumbangan mereka. – AGENSI

POPULAR

KOSMO! TERKINI