JAKARTA: Varian virus Covid-19 N439K dikesan menular di Indonesia sejak November tahun lalu, lapor Kompas.com.
Mendedahkan perkara itu, Pengarah Kawalan Penyakit Berjangkit, Menteri Kesihatan, Siti Nadia Tarmizi berkata, semua mutasi mesti dilaporkan kepada pangkalan data yang boleh dicapai umum iaitu Global Initiative on Sharing All Influenza Data (GISAID).
Bagaimanapun, beliau tidak dapat memastikan bilangan kes mutasi tersebut di negara ini kerana varian itu masih dikaji oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
“Penemuan itu masih berada di peringkat makmal dan kita memerlukan kajian lebih mendalam,” katanya.
Menurut Nadia, protokol kesihatan 3M iaitu memakai pelitup muka, membasuh tangan dengan sabun dan mengekalkan jarak fizikal merupakan kunci mengelakkan jangkitan virus tersebut.
Bagi Pakar Biologi Molekular Indonesia, Ahmad Utomo, varian baharu itu lebih mudah berjangkit dan berkemungkinan lebih kebal sifatnya terhadap antibodi vaksin ketika ini.
“Terdapat kemungkinan varian itu tidak dapat diatasi dengan vaksin, jadi kerajaan perlu menguatkan usaha pengesanan kontak,” katanya.
Sebelum ini, Ketua Umum Ikatan Doktor Indonesia, Daeng M Faqih meminta masyarakat berwaspada terhadap mutasi virus N439K kerana sudah ditemui di 30 negara dan lebih bahaya dari virus Covid-19 yang ditemui selama ini.
“Sebelum ini sudah ada varian B117 dan kini terdapat varian baharu N439K yang berkembang ditemui di Eropah,” jelasnya.
Kes pertama bagi varian tersebut mula dikesan di Scotland dan lebih mudah berjangkit.










