JAKARTA: Indonesia berhasrat memainkan peranan penting dalam aspek ketahanan kesihatan di peringkat global menerusi penghasilan vaksin Merah dan Putih.
Jurucakap bagi Petugas Khas Menangani Covid-19, Wiku Adisasmito menerusi sidang akhbar dalam talian berkata, kerajaan turut berharap dapat membantu negara lain yang belum mendapatkan akses terhadap vaksin melalui penghasilan tersebut.
“Indonesia mempunyai usaha serius untuk menghasilkan vaksin sendiri bukan sahaja memastikan kesediaan vaksin untuk negara sendiri, tetapi turut memainkan peranan penting di persada antarabangsa,” katanya.
Menurut Wiku, kerajaan juga membuka ruang kerjasama dengan sektor swasta untuk menyediakan penghasilan vaksin ke peringkat industri bagi memastikan penghasilan vaksin dalam kuantiti yang besar.
“Kerajaan berusaha mempercepatkan penghasilan vaksin Merah dan Putih bagi memastikan penghasilan yang banyak.
“Kerajaan turut membuat pendekatan dengan amalan penghasilan baik selari ketetapan daripada Badan Pengawal Ubat dan Makanan (BPOM),” katanya.
Sebelum ini, Menteri Penyelidikan dan Teknologi, Bambang PS Brodjonegoro berkata, aktiviti penyelidikan dan pembangunan bagi vaksin tersebut sudah hampir 100 peratus lengkap di peringkat makmal.
“Rancangannya untuk diedarkan pada Mac tahun ini. Kita harap pada hujung bulan ini sudah boleh menyerahkan vaksin kepada Bio Farma kerana di peringkat makmal sudah lengkap 100 peratus,” jelasnya. -ANTARANEWS










