YANGON: Tiga penunjuk perasaan yang menentang rampasan kuasa dilaporkan terbunuh semalaman di bandar terbesar di Myanmar ketika ratusan penduduk mengingkari perintah darurat yang diisytiharkan oleh junta tentera.
Junta tentera Myanmar meningkatkan tindakan terhadap penunjuk perasaan sejak rampasan kuasa pada 1 Februari lalu, sehingga menyaksikan lebih 70 orang terbunuh.
Namun, ia tidak menghalang ratusan ribu penunjuk perasaan terus berkumpul di seluruh negara bagi menuntut pembebasan pemimpin Aung San Suu Kyi dan pengembalian semula demokrasi di Myanmar.
Rakaman video yang dikongsi di media sosial menunjukkan polis mengheret keluar tiga penduduk ke jalan di bandar Thaketa di Yangon, lalu memukul di bahagian kepala dan menahan mereka.
“Mereka dipukul tanpa sebab yang munasabah,” kata seorang individu yang merakam kejadian tersebut.
Dilaporkan, polis melepaskan tembakan ke arah orang ramai yang melakukan protes di luar balai polis untuk menuntut pembebasan penduduk yang ditahan.
“Pasukan keselamatan telah menahan tiga lelaki dan apabila kami ke sana untuk mendesak mereka dibebaskan, polis menyerang kami.
“Dua dibunuh dengan seorang ditembak di bahagian kepala dan seorang lagi terkena tembakan menembusi pipinya ke leher,” dakwa seorang penduduk yang enggan namanya didedahkan.
Jelasnya, mereka terpaksa menunggu sehingga polis berhenti menembak bagi mengambil mayat lelaki tersebut. – AFP










